Berita UtamaUtama

Amaran! Waspada sindiket cukai

Pihak tertentu guna nama CEO Lembaga Hasil Dalam Negeri dakwa mangsa ada masalah pematuhan cukai, tawar caj untuk selesaikan kes

Oleh  Fazleen Safina

KUALA LUMPUR, 10 Syaaban 1440H, Selasa – Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dengan sindiket yang menggunakan nama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), yang dikesan menipu, kononnya mereka mempunyai isu pematuhan cukai yang perlu diselesaikan.

Sindiket yang menggunakan media sosial sebagai platform komunikasi ini bukan sahaja memaklumkan ‘masalah pematuhan cukai’ yang dihadapi mangsa, malah turut menawarkan khidmat membantu menyelesaikan isu itu dengan caj tertentu yang perlu dibayar,” kata LHDNM dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, nama CEO LHDN juga diguna pakai oleh golongan yang tidak bertanggungjawab, bagi mengugut dan memaksa pembayar cukai menjelaskan ‘amaun cukai tertunggak’ kepada LHDN melalui akaun milik mereka.

LHDN berkata, maklumat percukaian setiap pembayar cukai adalah sulit dan dijamin kerahsiaanya mengikut Seksyen 138 Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif dan setiap pegawai LHDN tidak dibenarkan membincangkan maklumat percukaian setiap pembayar cukai dengan pihak-pihak yang tidak berkenaan, katanya.

Selain itu, LHDN dalam kenyataan yang sama berkata, setiap penyelesaian isu pematuhan cukai dengan LHDN tidak menggunakan orang tengah selain daripada ejen cukai bertauliah yang dilantik, manakala pembayaran baki cukai tertunggak pula hendaklah dibuat terus ke akaun LHDN atas nama Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri.

Sehubungan itu, LHDN menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan taktik penipuan ini.

Orang ramai yang mempunyai keraguan terhadap sebarang surat, e-mel, mesej atau pun panggilan telefon yang kononnya dari atau mewakili LHDN, diminta mendapatkan pengesahan terlebih dahulu dengan menghubungi Hasil Care Line di talian 1-800-88-5436 atau Customer Care Officer (CCO) di setiap cawangan LHDN.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close