Berita UtamaIstimewaUtama

Dulu nak hapus, sekarang serah 50 peratus kepada China: Najib

Masa BN kita pegang 100 peratus kepentingan syarikat konsesi ECRL

BANGI, 9 Syaaban 1440H, Isnin – Datuk Seri Najib Razak, menyindir kerajaan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang memberi 50 peratus kepentingan dalam syarikat MRL – pengendali operasi ECRL – kepada syarikat milik negara China, China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

ECRL adalah projek Laluan Rel Pantai Timur yang dirancang pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Najib, kini diteruskan kerajaan baharu dengan melakukan beberapa perubahan dari segi kos dan laluan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini, berkata CCCC bersetuju mengambil bahagian dalam operasi dan penyelenggaraan ECRL melalui sebuah syarikat usahasama yang akan ditubuhkan dengan pegangan 50:50 antara MRLSB dan CCCC.

Kenyataan itu berkata, kerjasama berkenaan akan meringankan beban kewangan negara, yang sebelum ini terpaksa menanggung kos keseluruhan operasi dan penyelenggaraan.

Dalam menyindir keputusan menyerahkan pegangan ekuiti 50 peratus kepada CCCC, Najib dalam satu kenyataan hari ini mengimbas langkah kerajaan beliau yang membenarkan 49 peratus kepentingan Proton diambil alih syarikat China, menyebabkan BN dituduh menjual negara dan maruah Malaysia.

Proton dibangunkan sebagai industri automotif pertama negara di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1983. Penyerahan kepentingan Proton kepada China itu turut menjadi bahan kempen PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lalu, selain isu ECRL.

“Agak apa akan berlaku jika pada masa itu saya umumkan mahu jual 50% kepentingan dalam KTM kepada syarikat China?

“Sudah tentu, BN akan dituduh sebagai jual negara, jual maruah Malaysia dan menjejaskan keselamatan negara kerana membenarkan infrastruktur pengangkutan penting jatuh ke tangan asing.

“Hari ini, PH memberikan kepentingan 50% dalam syarikat MRL yang akan mengendalikan operasi ECRL kepada negara China sedangkan ini tidak pernah dibenarkan di bawah BN,” kata Najib dalam hantaran di Facebook beliau.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sebelum PRU14, PH mengatakan ECRL adalah projek membazir dan tidak diperlukan; dan menjual negara kepada China.

Katanya, PH juga menuduh kos sebenar projek ECRL hanya RM29 bilion dan yang selebihnya adalah rasuah, serta berjanji akan membatalkan projek itu jika menang PRU14.

“Kini (PH kata) ECRL mampu membangunkan ekonomi negara. ECRL mampu merapatkan (hubungan) negara dengan China. ECRL diteruskan dengan kos RM44 bilion walaupun spesifikasi, bilangan stesen telah dihapuskan dan jajaran ditukar untuk mengurangkan kos. Negara China diberikan 50% kepentingan dalam syarikat konsesi ECRL, berbanding 100% milik Malaysia di bawah BN.

“Walaupun BN serta saya difitnah dan rakyat dipermainkan dan ditipu berulang-kali. Walaupun matlamat penting untuk mengurangkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu di bawah 4 jam tidak tercapai lagi kerana tidak sampai lagi ke Gombak…

“Tetapi saya tetap puas hati bahawa projek ECRL diteruskan demi kepentingan negara terutama untuk negeri-negeri Pantai Timur,” katanya.

Namun, dalam kenyataan sama, Pejabat Perdana Menteri menegaskan bahawa kritikan awal terhadap projek ECRL adalah berlandaskan kepada kos projek asal yang terlalu tinggi dan membebankan yang dipersetujui pentadbiran BN, bukan khusus kepada projek ECRL.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close