Berita UtamaUtama

Bagus! Dasar U-Turn kerajaan PH makin konsisten: Pemuda UMNO

Rakyat tak lupa fitnah Pakatan Harapan terhadap BN sebelum PRU14

Oleh Ainaa Syaza Khusli 
Wartawan Pelatih Universiti Sains Malaysia 

BANGI, 9 Syaaban 1440H, Isnin – Pemuda UMNO menyambut baik keputusan kerajaan meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), sambil pada masa sama menyindir sikap U-Turn yang berterusan, sedangkan sebelum ini Pakatan Harapan (PH) membantah banyak projek kerajaan terdahulu.

“Dasar U-Turn Pakatan Harapan (PH) sejak akhir-akhir ini semakin konsisten, namun bagi Pemuda, Kerajaan PH tidak perlu malu untuk meneruskannya demi kemaslahatan rakyat terbanyak.

“Rakyat tentu sekali tidak dapat melupakan pelbagai fitnah dan tohmah dahsyat dilemparkan kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum PRU14,” kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, fitnah sedemikian hampir melumpuhkan projek ECRL yang akikatnya mampu memanfaatkan jutaan penduduk di negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan sekali gus membuka pintu kemajuan berterusan kepada negeri terbabit.

Beliau berkata, antara fitnah yang sering diulang-ulang, termasuk ECRL disifatkan sebagai satu pembaziran berskala besar dan tidak diperlukan, bahkan pelbagai pengiraan tahyul ditularkan bagi menjustifikasi tohmanan ini.

“Malah, pimpinan PH tergamak menularkan fitnah bahawa ECRL adalah projek jual negara kepada China dan disensasikan lagi dengan istilah ‘Debt Trap Diplomacy’ yang melanda negara Sri Lanka dan Pakistan.

“Paling dahsyat apabila mereka menuduh hampir 40% atau RM26 billion adalah rasuah dan digunakan untuk menutup hutang 1MDB serta membatalkan projek ini sebagai manifesto PRU14 mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, kini semua sandiwara yang didendangkan sebelum PRU14 sekelip mata dilenyapkan, dan kerajaan PH umpama wira baru negara apabila mengumumkan bahawa mereka berjaya merunding semula terma projek ECRL ini.

“Realitinya ECRL kini kembali mampu memacu pembangunan negara dan tiada lagi ‘istilah jual negara’, malah dianggap inisiatif baik merapatkan kedua-dua Kerajaan Malaysia dan China,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close