Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

Tentera Jeneral Khalifa Haftar bersiap memasuki Tripoli

13,500 penduduk ibu kota Libya dipindah ke tempat selamat

TRIPOLI, 8 Syaaban 1440H, Ahad – Tentera Kebangsaan Libya (LNA) diketuai Jeneral Khalifa Haftar semakin menghampiri ibu kota, tatkala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sejak awal bulan ini, 121 orang terbunuh, manakala 561 lagi cedera.

Menurut laman Twitter pemerhati Libya, tentera LNA menawan sedikit demi sedikit kawasan di pinggir bandar dan kini kedudukan mereka hanya kira-kira 18 kilometer sahaja dari Tripoli.

Tentera bahagian timur Libya semakin bergerak ke Tripoli untuk menyingkirkan kumpulan pengganas, kata Presiden Dewan Rakyat bahagian timur Libya, Aguila Saleh Issa, yang kerap merujuk pentadbiran di Tripoli sebagai kumpulan militan dan pengganas.

“Kami memberi jaminan kepada penduduk bahawa kempen ketenteraan untuk menawan Tripoli akan dihadkan dan tidak akan melanggar kebebasan, tetapi mengembalikan keamanan dan menentang pengganas,” kata Aguila yang juga sekutu kuat Jeneral Khalifa.

Walaupun, komuniti antarabangsa menggesa kedua-dua pihak mengadakan gencatan senjata, pertempuran terus berlaku antara tentera LNA dan askar yang setia dengan Kerajaan Kebangsaan (GNA), menyebabkan kira-kira 13,500 penduduk dipindahkan ke tempat selamat.

Kenyataan beliau dibuat tatkala serangan udara oleh tentera Jeneral Khalifa hampir mengenai sebuah sekolah di selatan Tripoli, di mana tentera LNA bertempur dengan askar GNA, sekutu kepada Perdana Menteri, Fayez al-Serraj.

Dalam gerakan terbaharu, tentera LNA sudah bersiap sedia untuk bergerak ke pelabuhan minyak Ras Lanuf serta Es Sider di pesisir pantai di bahagian timur Tripoli, dan menjangkakan penentangan daripada kumpulan bersenjata yang menyokong Fayez.

Pada masa sama pemantau melaporkan beberapa unit tentera GNA mula berpaling tadah dan menyokong Jeneral Khalifa.

Jeneral Khalifa, 75, komander tentera di bawah Presiden Muammar Gaddafi yang kemudian tinggal di Amerika Syarikat (AS), mendapat sokongan beberapa Negara Teluk, selain Mesir dan Russia, lapor AFP.

Sementara, kerajaan Fayez yang berpusat di Tripoli pula mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Tentera Jeneral Khalifa menguasai sepenuhnya kawasan timur Libya, menawan wilayah padang pasir yang kurang dihuni, bergerak ke selatan, sebelum melancarkan serangan ke atas Tripoli sejak 4 April lalu. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close