Berita UtamaDuniaIstimewaUtama

Sayap pesawat Roc sepanjang padang bola sepak Amerika

Pesawat terbesar dunia lakukan ujian pertama di Gurun Mojave

CALIFORNIA, 8 Syaaban 1440H, Ahad – Pesawat mega digelar Roc, pesawat terbesar di dunia yang pernah dibina, melakukan penerbangan ujian kali pertamanya hari ini.

Roc, dengan sayap yang panjangnya 385 kaki iaitu selebar padang bola Amerika, dijana kuasa enam enjin dan badan berkembar melakukan penerbangan sulungnya di atas Gurun Mojave sejurus sebelum jam 7 pagi waktu Pasifik (14:00 GMT).

Pesawat itu, yang dibangunkan Stratolaunch Systems Corp, terbang selama dua jam, mencapai kelajuan maksimum 304 kilometer sejam, dan mencecah ketinggian 5,182 meter (17,000 kaki).

Ia kemudian selamat mendarat di landasan Pangkalan Udara dan Angkasa Mojave sambil disaksikan ratusan pekerja dan orang ramai.

“Penerbangan pertama yang hebat. Penerbangan hari ini meningkatkan lagi misi kami untuk menyediakan alternatif yang fleksibel kepada sistem pelancaran.

“Kami amat berbangga dengan pasukan Stratolaunch, krew penerbangan hari ini, rakan kongsi kami di Composite Scaled Northrup Grumman dan Pangkalan Udara dan Angkasa Mojave,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Stratolaunch, Jean Floyd.

Stratolaunch ditubuhkan pada 2011 oleh pengasas bersama Microsoft, Paul Allen, yang meninggal dunia Oktober tahun lalu.

Syarikat itu menyasarkan cita-cita memudahkan kemasukan roket ke orbit bagi melancarkan satelit dengan menggunakan pesawat di udara, berbanding sistem dari darat yang dilakukan sekarang. – Agensi

Pesawat mega digelar Roc berlepas dari Pangkalan Udara dan Angkasa Mojave, dalam penerbangan ujian pertamanya, hari ini.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close