Berita UtamaIstimewaUtama

Pihak luar usah melompat-lompat, titah Sultan Johor

Kerajaan Johor ada cara tersendiri jalankan pentadbiran

JOHOR BAHRU, 8 Syaaban 1440H, Ahad – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini, menasihatkan kerajaan menumpukan perhatian untuk membantu hidup rakyat yang susah dan meningkatkan kemajuan ekonomi negara.

Baginda turut menasihatkan kerajaan supaya tidak membuang masa dengan banyak bercakap mengenai perkara yang tidak berfaedah, menabur fitnah dan mereka-reka cerita hanya untuk menarik perhatian atau mengelirukan rakyat.

“Sesungguhnya Kerajaan Johor telah lama wujud dan mempunyai adat dan cara pemerintahan yang tersendiri. Tidak perlu ada pihak luar yang sibuk melompat-lompat tidak tentu arah bercerita tentang siapa yang berkuasa dan bagaimana untuk mentadbir Negeri Johor.

“Kedaulatan Negeri Johor, kesucian agama Islam dan keistimewaan orang Melayu hendaklah sentiasa dipelihara daripada diganggu-gugat oleh pihak luar yang berselindung disebalik perjuangan hak asasi manusia,” titah Sultan Ibrahim.

Baginda bertitah demikian dalam satu kenyataan selepas Istiadat Angkat Sumpah Menteri Besar Johor Ke-17, oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal di Istana Bukit Serene di sini, pagi tadi.

Hadir sama pada majlis itu ialah Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dr Sahruddin menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan Isnin lalu.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Dr Sahruddin, Sultan Ibrahim berharap menteri besar baharu dapat memikul tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan amanah.

“Saya harap beliau akan dapat memikul tanggungjawab dengan jujur, ikhlas dan amanah, serta mengutamakan kepentingan Negeri berbanding kepentingan diri atau politik, demi kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran ekonomi Negeri Johor.

“Saya juga mahukan beliau memberi keutamaan kepada isu pencemaran sungai bagi memastikan sumber air mentah sentiasa bersih dan mampu bertahan untuk jangka masa panjang,” titah baginda.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close