Amerika SyarikatBerita UtamaDuniaIstimewaUtama

Washington gembira ICC batal siasatan terhadap tentera AS

Amerika tak ratifikasi Statut Rom, ugut rampas aset pendakwa ICC dan akan mendakwa kakitangan Mahkamah Jenayah Antarabangsa di AS

WASHINGTON, 7 Syaaban 1440H, Sabtu – “Hari ini, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengumumkan penolakan sepenuhnya permintaan untuk menyiasat tentera dan perisik Amerika Syarikat (AS) yang berkhidmat di Afghanistan. Ini adalah kejayaan besar antarabangsa, bukan sahaja kepada mereka yang cintakan negara, tetapi juga kepada kedaulatan undang-undang.

“Kami mengalu-alukan keputusan ini dan mengulangi pendirian kami bahawa Amerika Syarikat meletakkan warganegara kami dalam piawaian undang-undang dan etika tertinggi.

“Sejak ICC diwujudkan, AS secara konsisten menolak untuk menyertai mahkamah itu kerana keluasan, kuasa pendakwaan yang tidak dapat dipertanggungjawabkan, ancaman kepada kedaulatan AS, dan kecacatan lain yang membuatkannya tidak sah. Apa saja cubaan mendakwa yang menyasarkan warga AS, Israel, atau sekutu secara peribadi, akan disusuli dengan tindak balas pantas dan tegas.”

Itu adalah penegasan presiden negara pembuli AS, Donald Trump, tatkala mengulas keputusan ICC untuk tidak meneruskan siasatan terhadap pembabitan tentera mereka di Afghanistan. AS adalah antara negara yang tidak meratifikasi Statut Rom.

Di The Hague, Belanda, ICC membuat keputusan itu setelah mendapati AS dengan jelas tidak akan memberi kerjasama terhadap dakwaan mereka terbabit dalam jenayah perang di Afghanistan.

Pengumuman untuk tidak meneruskan prosiding itu – walaupun percaya jenayah perang berlaku dan berada dalam bidang kuasanya – keputusan itu sekali gus merosakkan kedudukan dan masa depan ICC.

Keputusan mahkamah itu dibuat selepas AS membatalkan visa kemasukan kepada pendakwa raya kanan ICC, Fatou Bensouda.

Baru-baru ini, Penasihat Keselamatan AS, John Bolton dengan jelas menegaskan bahawa kerajaan AS bukan sahaja tidak akan bekerjasama, tetapi juga akan merampas aset Bensouda dan anggota ICC, serta akan mendakwa mereka di mahkamah jenayah AS.

“Kami akan membiarkan ICC mati dengan sendiri. Lagipun, untuk semua kehendak dan tujuan, ICC sebenarnya bagi kami sudah mati,” kata Bolton.

Pemantau hak asasi manusia mengutuk keputusan ICC, dan menyifatkannya satu tamparan hebat kepada mangsa yang menderita kerana jenayah berat tanpa sebarang ganti rugi.

Jika mahkamah itu meneruskan siasatan rasminya, pendakwa raya ICC juga akan menyiasat tindakan Taliban, kerajaan Afghanistan, selain pembabitan AS.

Sebaliknya, ICC menyalahkan keadaan semasa di Afghanistan yang menghalang mereka meneruskan siasatan ke atas jenayah dilakukan AS.

Dalam kenyataannya ICC berkata, mahkamah percaya bahawa walau apa pun keperluan yang relevan sudah dipenuhi seperti dikehendaki bidang kuasa dan kebolehterimaan, keadaan semasa di Afghanistan, untuk memastikan prospek siasatan dan pendakwaan berjaya, adalah sangat terhad.

“Tidak mungkin dengan meneruskan siasatan akan memberi keputusan yang memenuhi semua objektif yang disenaraikan mangsa.

“Oleh itu mahkamah memutuskan bahawa siasatan terhadap situasi di Afghanistan pada masa ini tidak memenuhi kepentingan keadilan dan mahkamah menolak permohonan pendakwa bag mendapatkan kebenaran menyiasat,” kata ICC.

AS tidak meratifikasi Statut Rom – undang-undang antarabangsa yang mewujudkan ICC pada 2002 dalam usaha medakwa kes berkaitan pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan pencerobohan kedaulatan.

Manakala, Afghanistan pula meratifikiasi Statut Rom, yang bermakna mahkamah mempunyai bidang kuasa ke atas jenayah yang dilakukan akibat daripada perang di negara itu sejak 1 Mei 2003.

Dalam laporan awalnya pada 2017, Bensouda berkata, terdapat dasar yang munasabah untuk mempercayai bahawa anggota tentera AS dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) terbabit dalam jenayah perang, termasuk penderaan dan perkosaan.

Bukti bahawa CIA dan tentera AS terbabit dalam jenayah perang di Afghanistan, termasuk laporan Jawatankuasa Perisikan Senat AS 2014 membabitkan rekod CIA sendiri yang mendokumenkan pelanggaran hak asasi manusia oleh agensi itu yang dilakukan di rangkaian penjara rahsia; laporan oleh Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa; dan penemuan oleh Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close