Berita UtamaDuniaUtama

Rakyat Algeria masih protes

Polis terpaksa lepaskan gas pemedih mata, lebih 100 ditangkap

ALGIERS, 7 Syaaban 1440H, Sabtu – Walaupun Presiden Algeria, Abdelaziz Bouteflika sah meletakkan jawatan pada 2 April lalu, protes mingguan secara besar-besaran di ibu negara masih tetap diteruskan.

Berbeza dengan sebelumnya, protes yang memasuki minggu kelapan itu diadakan dalam suasana penunjuk perasaan yang terdiri daripada golongan belia, berhimpun bagi menentang sebarang pencabulan terhadap sistem demokrasi negara.

Protes berkenaan adalah demontrasi pertama selepas pengumuman peletakan jawatan Abdulaziz – yang menerima tekanan kuat daripada tentera, pembangkang dan rakyat terhadap pemerintahannya selama 20 tahun.

Polis memaklumkan bahawa mereka terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan menahan ramai penunjuk perasaan yang mengingkari larangan terhadap demonstrasi jalanan.

Dalam satu kenyataan semalam, polis berkata, 108 orang ditangkap selepas merusuh sehingga mencederakan 27 anggotanya.

Penyelidik di Pusat Pengajian Lanjutan Sains Sosial (EHESS), Amel Boubekeur berkata, sejak Abdulaziz turun, ada cubaan daripada pihak tentera untuk mencabul sistem demokrasi negara.

“Penunjuk perasaan terus berkumpul untuk menyatakan bantahan terhadap penindasan. Tidak masuk akal untuk penunjuk perasaan mencapai penyelesaian dalam rangka kerja perlembagaan semasa.

“Mereka mengatakan perlembagaan ini digunakan oleh rejim untuk kekal berkuasa,” katanya.

Rabu lalu, pemimpin sementara Algeria, Abdelkader Bensalah mengumumkan pemilihan Presiden negara itu akan diadakan pada 4 Julai ini.

Tarikh itu diumumkan sehari selepas Bensalah mengambil alih jawatan berkenaan untuk tempoh 90 hari, seperti yang ditetapkan oleh perlembagaan namun masih ditentang penunjuk perasaan.

Pelantikan sementara Bensalah itu dikatakan gagal memenuhi tuntutan penunjuk perasaan.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close