Berita Utama

Malaysia tak akan tarik balik arahan wajib pakai pelitup muka

95 peratus responden setuju SOP perlu dikekalkan

KUALA LUMPUR, 9 Jamadilawal 1443H, Selasa – Malaysia tidak berhasrat menarik balik arahan wajib pemakaian pelitup muka di tempat awam dalam masa terdekat, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata, satu kajian telah dijalankan oleh kementerian antara 5 hingga 11 Oktober lepas, berkaitan pemerhatian prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, kajian mendapati 95 peratus daripada responden masih mematuhi SOP, dan bersetuju ia perlu dikekalkan.

Ini termasuk pemakaian pelitup muka dan amalan serta penguatkuasaan penjarakan sosial di kawasan awam.

“Jadi, kedua-dua kaedah ini harus diamalkan sebagai norma baharu oleh semua individu. Justeru, walaupun Malaysia melangkah ke peringkat endemik, amalan ini mesti diteruskan.

“Selain itu, dengan kemunculan varian Omicron, kami mendapati negara seperti United Kingdom juga sekali lagi memaklumkan rakyat mereka mengenai penggunaan pelitup muka dan penjarakan fizikal,” katanya menjawab soalan Datuk Mohamaddin Ketapi (PN-Bersatu) semasa Waktu Pertanyaan.

Mohamaddin menanyakan kepada Kementerian Kesihatan sama ada ia akan melonggarkan SOP COVID-19, termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal, memandangkan beberapa negara Eropah tidak lagi mengenakan peraturan wajib pelitup muka.

Timbalan Menteri berkata, penggunaan pelitup muka yang betul telah dianggap sebagai salah satu langkah berkesan untuk menghentikan penularan COVID-19.

“Keberkesanan penggunaan pelitup muka telah diperakui oleh badan antarabangsa yang berwibawa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button