Berita UtamaIstimewaUtama

‘Jika mati Firdaus Wong ini akan lahir ratusan Firdaus Wong lain’

Presiden MRM terus terima ugutan daripada ekstremis Hindu, Hindraf

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 7 Syaaban 1440H, Sabtu – “Tak perlu bagi amaran terakhir. Saya tidak akan berundur walaupun seinci untuk meneruskan kajian dan penyelidikan kami. Andai harga sebuah perjuangan berkongsikan ilmu dan menegakkan kebenaran adalah tergadainya nyawa saya sekalipun, tidak mengapa.

“Matinya seorang Firdaus Wong akan bangkit lagi berpuluh malahan beratus Firdaus Wong. Saya hanya seorang muslim dari berbilion di luar.”

Demikian luahan Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) yang juga pendakwah bebas, selepas berterusan menerima ugutan di laman sosial meminta menghentikan perbincangan mengenai agama lain.

Pada masa sama, Firdaus Wong Wai Hung membuat laporan polis berhubung ugutan yang diterima beliau, di Pondok Polis KLIA sebaik tiba dari Jakarta petang ini.

“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat pihak yang suka memprovokasi dan menfitnah ini,” katanya.

Terdahulu, hari ini, pemilik akaun Facebook, yang juga dikatakan pelampau Hindraf memuat naik status berserta video, memberi amaran terakhir kepada Firdaus Wong Wai Hung supaya berhenti membaca dan mengkaji kitab dan buku agama lain.

“Final warning to firdog and Zakir Naik, stop provoking us and touching, lying in our scriptures. Appologise for your lies and Manipulations in our scriptures or ….,” tulisnya di Facebook.

Tidak gentar, malah makin bersemangat, Firdaus Wong berpegang kepada prinsip apabila menjaga agama Allah, Allah akan menjaga kita, kerana tiada siapa yang boleh memberikan manfaat atau mendatangkan kemudaratan tanpa izin Allah.

Justeru, beliau tidak takut dengan tuduhan kononnya MRM telah memutarbelitkan dan menipu dalam kajian yang dilakukan.

“Mahu kami berhenti membaca dan mengkaji kitab dan buku agama lain? Mintalah para sarjana agama lain, penerbit dan pengedar kitab agama lain berhenti menulis dan menjualnya.

“Hukum pemasaran asas iaitu ada penawaran dan ada permintaan. Ingin memutar belit kononnya kami menipu dalam kajian kami? Silakan buat laporan polis dan failkan saman ke atas kami dan biarkan pihak berkuasa menyiasat siapa benar dan siapa berbohong,” katanya.

Semalam, Firdaus Wong turut menerima ugutan bunuh menerusi laman Facebook daripada individu menggunakan nama ‘Pandian Sam’, dipercayai dibuat selepas pejabat MRM diserbu pihak tertentu sebelum ini.

Beliau berkata, MRM mengambil pendekatan mengkaji semua agama dan fahaman dari sumbernya untuk berlaku adil.

“Dulu, mereka fitnah kami kononnya kami terjemah kitab mereka, tetapi bila dah terbukti yang menterjemahkan kitab adalah sarjana mereka, mereka putar belit lagi kata kami tak boleh beli.

“Yang menjualnya pula adalah pendeta Hindu sendiri. Kami bukan sahaja mengkaji Hindu tetapi Kristian, Buddha, Islam, Sikhism, Taoism, Confucianism dan banyak lagi dan jikalau ada kesalahan, buat laporan polis atau saman kami sahaja.

“Tetapi ini tidak. Mereka mengugut bunuh. Saya masih berada di Jakarta dan InshaAllah saya akan terus membuat laporan polis apabila sampai ke Malaysia. Kelompok ekstremis ini sangat merbahaya untuk negara,” katanya.

Ekstremis Hindu ugut bunuh pendakwah bebas Firdaus Wong

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close