Berita UtamaIstimewaKata PedangUtama

Dr Sahruddin bakal MB Johor

Khabar angin bertiup kencang Adun Bukit Kepong yang juga Exco kesihatan bakal angkat sumpah di Istana Bukit Serene pagi esok

ESOK Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan melantik menteri besar baharu dan istiadat pelantikan akan diadakan jam 9.30 pagi di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Ini susulan baginda sudah berkenan menerima peletakan jawatan Datuk Osman Sapian sebagai Menteri Besar Johor pada pertemuan di Istana Pasir Pelangi, pada jam 10 pagi tadi. Ini disahkan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Dan, sudah tersebar bahawa Ahli Exco Negeri, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri, Dr Sahruddin Jamal, bakal menggantikan Datuk Osman Sapian, bagi kerusi Menteri Besar Johor.

Berusia 44 tahun dan berasal dari Muar, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepong itu memiliki Ijazah Sarjana Perubatan (MD) dari Universiti Hasanuddin di Indonesia.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 tahun lalu, Dr Sahruddin mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Noor Taib; dan Iqbal Razak (PAS).

Betul atau tidak beliau akan dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke 17, wallahualam. Khabar angin memang mengatakan demikian.

Tetapi, inilah kebiasaan yang berlaku dalam setiap kali pelantikan jawatan menteri besar, bukan di Johor sahaja, malah di negeri-negeri lain juga.

Pedang selalu perasan, di kalangan kita, naik nama individu tertentu, tiba-tiba esok individu lain yangdiumumkan. Wallahualam.

Apapun, pelantikan menjadi pemimpin sebagaimana yang Pedang kata sebelum ini, biarlah orang yang berpengalaman, kerana tugas MB bukan sahaja menjaga kawasan sendiri, tetapi seluruh negeri.

Pedang pun harap apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Sultan Johor, seperti memalu ular dalam benih: ular biar mati, benih jangan rosak.

Demikianlah pesan orang tua-tua supaya kita bersikap bijaksana dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Jangan pula ketika menghela tali jala, masing-masing berlawan tarik. Sepatutnya, jika rasa tegang ianya dikendurkan, dan jika rasa kendur maka ditegangkan.

Yang berada di tengah-tengah kemelut menteri besar ini ialah rakyat. Jika satu pihak tidak suka kepada pelantikan yang dipilih atau dilantik, pasti akan ada masalah. Jika masing-masing hendak menunjuk kuasa, masalah tidak akan selesai dan yang menjadi mangsa ialah rakyat.

Contohnya, jika individu yang dilantik sebagai menteri besar itu bukan seperti yang dikehendaki Kerajaan Pusat, maka akan timbul masalah hubungan negeri dan Persekutuan. Pusat mungkin boleh boikot projek pembangunan untuk Johor.

Demikian juga jika individu yang dilantik itu tidak digemari Sultan, maka akan timbul juga masalah pentadbiran antara negeri, Pusat dan istana.

Yang menjadi mangsa ialah rakyat.

Namun, Pedang yakin Sultan Ibrahim dan parti politik yang mempunyai suara majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sudah mengambil kira semua faktor, termasuk kepentingan rakyat, dalam membuat keputusan penting ini.

Kata Pedang: Pedang hairan dengan kebijaksanaan orang tua-tua dahulu dalam membuat ungkapan nasihat, kiasan dan peribahasa. Semuanya tepat.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net, tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close