Berita UtamaUtama

Vaksin meningitis Mencevax palsu tidak dijual di Malaysia

Mencevax ACWY tak daftar dengan pihak berkuasa kawalan dadah

BANGI, 6 Syaaban 1440H, Jumaat – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan bahawa vaksin palsu Mencevax ACWY digunakan untuk mencegah Meningitis Type A, C, W dan Y tidak pernah diimport untuk kegunaan rakyat Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata demikian susulan kenyataan amaran oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 28 Mac lalu mengenai penemuan vaksin dipalsukan itu di Republik Niger.

“Semakan Vaccine Lot Release mendapati vaksin Mencevax ACWY dengan nombor kelompok dinyatakan dalam amaran berkenaan tiada dalam pasaran Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau turut menegaskan, kali terakhir vaksin Mencevax ACWY diimport Malaysia adalah pada Julai 2017, manakala status pendaftaran vaksin berkenaan luput pada 31 Mei 2018.

Noor Hisham yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) berkata, vaksin Mencevax ACWY kini tidak lagi berdaftar di bawah institusi berkenaan.

“Mulai 1 Januari 2015, PBKD juga telah mensyaratkan Vaccine Lot Release dijalankan sebelum vaksin import mendapat kebenaran untuk dipasarkan.

“Perkara itu penting bagi memastikan produk vaksin di pasaran kita adalah berkualiti, selamat dan berkesan,” katanya.


Beliau berkata, pihaknya memandang serius isu ini serta turut menjamin bahawa pemeriksaan giat dijalankan dari semasa ke semasa, bagi memastikan tidak ada produk vaksin yang dipalsukan di pasaran Malaysia.

Selain itu, KKM ingin mengingatkan hospital atau klinik swasta agar membeli stok bekalan vaksin daripada pembekal-pembekal yang berlesen sahaja.

“Kami juga berharap supaya mereka tidak terpedaya dengan pihak yang menawarkan vaksin dengan harga yang lebih murah berbanding pembekal yang berlesen,” katanya.

Justeru, orang awam boleh menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400, sekiranya terdapat maklumat mengenai kewujudan vaksin yang meragukan.

Orang ramai juga boleh melakukan semakan mengenai maklumat vaksin yang memperoleh sijil Lot Release daripada laman sesawang https://www.npra.gov.my.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close