Berita Utama

Langgar SOP solat Aidiladha, MAINPP minta penjelasan Pengerusi kariah Taman Pelangi

Insiden jelas di luar kawalan pihak kariah

GEORGE TOWN, 12 Zulhijjah 1442H, Khamis – Pengerusi kariah Taman Pelangi dan Pegawai Tadbir Agama Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) diminta menyediakan laporan menjelaskan kejadian melibatkan lebih 200 individu melanggar prosedur operasi standard (SOP) solat sunat Aidiladha di surau Taman Pelangi, Juru dekat sini pada Selasa.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, insiden itu diharap dapat menjadi peringatan kepada semua khususnya pihak pentadbiran masjid dan surau di Pulau Pinang untuk mematuhi SOP yang ditetapkan secara serius, demi keselamatan semua pihak.

“Berdasarkan kronologi kes yang saya teliti, mendapati pihak kariah telah mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu hanya 100 orang jemaah (yang terdiri daripada warganegara dan pemastautin tetap) yang telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin dibenarkan untuk menunaikan solat Aidiladha pada pagi tersebut.

“Pengerusi kariah juga didapati telah memberi dua kali peringatan berkenaan SOP terkini yang dikeluarkan, pertama pada malam raya dan kali kedua sebelum solat Aidiladha didirikan dengan penekanan telah pun dibuat oleh beliau untuk tidak membenarkan warga asing menunaikan solat pada waktu itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun, katanya, sejumlah warga asing berdegil dengan terus menghampar sejadah di luar kawasan surau dan mengikut solat sunat Aidiladha yang sedang berlangsung dan ia jelas di luar kawalan pihak kariah kerana jawatankuasa surau itu telah pun mengunci pagar surau serta tidak membenarkan sesiapa pun masuk sejurus sebelum solat dimulakan.

Ahmad Zakiyuddin, yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, turut menjelaskan Surau Taman Pelangi itu boleh melaksanakan solat sunat Aidiladha hingga 100 orang iaitu menyamai SOP kapasiti masjid kerana surau itu telah dijadikan tempat melaksanakan solat Jumaat buat sementara waktu, bagi mengantikan masjid kariah taman itu yang masih dalam pembinaan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis atas tindakan pantas dalam mengenal pasti dan menahan individu yang melanggar SOP kerana ia bertepatan dengan tindakan tegas kerajaan dalam usaha memerangi COVID-19.

Bagaimanapun beliau berharap pihak polis dapat menggunakan budi bicara semasa menahan individu terlibat.

Selasa lepas, satu video tular di media sosial mengenai tindakan sekumpulan lelaki di kawasan perumahan berkenaan sedang menunaikan solat di kawasan tempat letak kereta sehingga ke tepi jalan raya bermula 8.30 hingga 9 pagi.

Susulan itu, polis Pulau Pinang menjalankan siasatan termasuk sedang mengesan 200 jemaah, kebanyakan terdiri daripada warga asing, yang melanggar SOP dengan menunaikan solat sunat Aidiladha di luar Surau Taman Pelangi tersebut. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button