Berita UtamaIstimewaKata PedangUtama

MB Johor: Antara N5 dan N7

Pedang sekadar buat telahan selepas 'merisik khabar'

KELMARIN Pedang tulis kisah pergolakan politik di Johor, kisah calon-calon MB Johor di kalangan wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kisah angkat sumpah MB, dan kisah ‘siapa calon keempat MB’.

Cuma yang Pedang tak ceritakan ialah bagaimana Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pilih MB dulu. Biarlah tak diceritakan. Biarlah tak diceritakan siapa ‘calon keempat’, masa mula-mula nak lantik MB dulu.

Hari ini yang Pedang nak cerita ialah mengenai siapa pula calon-calon MB Johor bagi menggantikan tempat Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan 8 April lalu.

Pedang buat banyak perkiraan. Cari sedikit maklumat berkaitan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu Johor itu.

Enam Adun Bersatu yang ada dalam senarai awal untuk dipilih (selepas tolak Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Osman) ialah:

Mereka ini jika tidak ada sebab-sebab tertentu, sememangnya layak untuk memimpin.

Namun, bagi Pedang jika hendak memilih pemimpin, terutama sebagai MB perlu mengambil kira banyak perkara. Bukan suka-suka lantik untuk kepentingan satu pihak sahaja, sebaliknya kepentingan rakyat hendaklah diutamakan.

Pada pendapat Pedang, untuk menjadi MB mestilah seseorang yang banyak pengalaman – lebih 10 atau 20 tahun dalam pentadbiran swasta atau kerajaan, selain sudah lama bergelumang dalam politik.

Zaman sekarang sudah berbeza dengan dahulu. Dalam situasi negara sekarang, mesti angkat individu berpengalaman. Bukannya ambil individu yang muda menjadi MB dan memberi masa kepadanya untuk belajar, seperti berlaku di Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

Bukan Pedang kata orang muda tak layak memimpin. Tapi dalam keadaan Johor yang menjadi antara negeri pesat membangun, cabarannya adalah amat besar, dan memerlukan individu berpengalaman dalam pentadbiran swasta dan kerajaan.

Bukannya ambil MB untuk cuba-cuba, kononnya nanti dia boleh belajar… ada yang boleh tolong dia. Ini akan mengabil masa lama, apa lagi untuk menangani pelbagai situasi dalam negeri sekarang.

Berbanding dengan individu yang ada pengalaman lama dalam politik, dan pernah menjadi AJK bahagian. Pastinya ada perbezaan kerana seperti kata Pedang tadi, situasi di Johor sekarang berbeza.

Johor mesti ada MB yang ada agama sikit, mampu menangani situasi sekarang, terutama menjadi penghubung yang baik antara Kerajaan Pusat dan Istana Johor, yang sejak akhir-akhir ini dilihat agak renggang dan tegang. Juga boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik.

Itu sedikit sebanyak pendapat Pedang untuk memilih MB Johor. Yang penting bijak menjadi penghubung antara Istana dan Kerajaan Persekutuan.

Jadi, selepas Pedang congak-congak, merisik khabar, Pedang senarai pendekkan dua nama sahaja calon – N5 dan N7. Kenapa Puteri Wangsa, Permas, Larkin, dan Bukit Permai tidak menjadi pilihan Pedang?

Ini khabarnya yang Pedang dapat yang dikatakan sebab mereka ‘hilang’ kelayakan:

N41 ada masalah sikit dengan istana;
N43 bukan anak Johor asal;
N44 tidak berminat; dan
N50 sudah berusia.

 

 

Maknanya, sekarang ini ada dua individu yang dalam perhatian pimpinan Bersatu iaitu YB Solihan dan YB Dr Sahruddin untuk dicalonkan menjadi MB Johor ke 17. Tapi, Pedang rasa-rasa orangnya sudah ditetapkan, dan Pedang pun dah dapat agak.

Dan, Pedang dapat khabar juga mungkin Ahad atau Isnin ini, Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu akan menghadap Tuanku Sultan Johor sekali lagi untuk menyembahkan nama calon MB yang baharu, sebagaimana dilakukan selepas Pakatan Harapan (PH) menguasai pentadbiran kerajaan Johor.

Dalam minggu depan insya-Allah warga Johor akan mendapat MB baharu yang berpengalaman luas dan mampu menjana pembangunan, mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan negeri itu, selain menangani isu yang melanda sekarang.

Kepada mereka Pedang hanya ingatkan bahawa keikhlasan dalam perjuangan dan niat jihad mendapat pahala di sisi Allah. Yang menetapkan segala-galanya adalah Allah Yang Maha Berkuasa. Wallahualam.

Kata Pedang: Pedang pun dah bergelumang dalam dunia kewartawanan, media dan persuratkhabaran dah hampir 35 tahun, tentu pengalaman dan cara Pedang berbeza daripada wartawan baharu dua tiga tahun. Demikian juga nak pilih orang yang boleh memimpin Johor kenalah yang banyak pengalaman.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net, tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

MB Johor yang baharu calon pernah tersenarai dahulu?

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close