Berita UtamaUtama

Cubaan jadikan raja-raja jengkel dengan kerajaan akan gagal

Kerajaan sedia ada dipilih rakyat secara demokratik, kata Perdana Menteri ketika mengulas kebimbangan wujudnya 'negara dalam negara'

SERDANG, 5 Syaaban 1440H, Khamis – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, cubaan pihak tertentu untuk membuatkan raja-raja kurang senang dengan kerajaan semasa tidak akan berjaya kerana kerajaan dipilih oleh rakyat secara demokratik.

“Ada banyak cubaan untuk jadikan raja jengkel dengan kerajaan. Mereka pilih perkara-perkara seperti Statut Rom… tetapi ia tidak akan berhasil, ia akan gagal. Mereka boleh cuba nasib mereka.

“Mereka tidak akan berjaya kerana kerajaan dipilih oleh rakyat. Ini adalah demokrasi dan anda tidak boleh sewenang-wenangnya jatuhkan kerajaan.

“Melainkan anda mahu ketepikan demokrasi dan jadi kleptokrasi atau anda boleh jadi autokrasi,” kata Dr Mahathir apabila ditanya mengenai kebimbangan berhubung kewujudan ‘deep state’ atau ‘negara dalam negara’ yang boleh menjejaskan Putrajaya.

Dr Mahathir ditemui pemberita selepas melancarkan Malaysian Autoshow 2019 anjuran Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii), pameran kenderaan terbesar ASEAN yang bermula hari ini hingga 14 April di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang.

Baru-baru ini, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, keputusan kerajaan menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom bagi Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) adalah langkah ‘politik’ kerana bimbang akan cubaan rampasan kuasa yang didorong oleh kuasa di belakang tabir.

Statut Rom adalah triti yang mewujudkan ICC.

Saifuddin juga dipetik berkata, sejarah membuktikan rampasan kuasa atau kudeta adalah reaksi biasa kemajuan demokratik dan pemberontakan rakyat susulan pilihan raya, dan ia biasanya dicetuskan oleh ‘deep state’.

Menurut laporan itu, ‘deep state’ juga dikenali sebagai ‘state within a state’ (negara dalam negara) merujuk kepada satu bentuk kerajaan sulit atau rangkaian yang beroperasi secara berasingan daripada kepimpinan politik sesebuah negara, bagi memenuhi agendanya sendiri. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close