Berita UtamaIstimewaKata PedangUtama

MB Johor yang baharu calon pernah tersenarai dahulu?

PH ikut jejak 'tak lama' Osman Sapian jika DAP terus buat hal

POLITIK dan pentadbiran Johor bergolak, bukan dalam sehari dua ini, tetapi sejak hari pertama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Osman Sapian mengangkat sumpah jawatan menteri besar (MB) lagi.

Pedang dan rakan pun ada di Johor Bahru pada hari Osman angkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, iaitu pada 12 Mei 2018 (26 Syaaban 1439H), hari ketiga selepas Pakatan Harapan (PH) menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei.

Pedang juga hadir pada sidang media pertama Osman atau singkatannya DOS (Datuk Osman Sapian), di sebuah hotel terkemuka di Johor Bahru, selepas istiadat angkat sumpah MB Johor yang ke-16 di Istana Bukit Serene.

Tapi sehari sebelum itu, iaitu pada 11 Mei 2018 (25 Syaaban 1439H), Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan sidang media di sebuah hotel, selepas menghadap dan menyerahkan senarai nama calon MB kepada Sultan Ibrahim.

Pedang dan rakan juga hadir pada sidang media itu bertanyakan beberapa soalan kepada Muhyiddin, termasuk kenapa nama beliau tiada dalam senarai yang diserahkan kepada Tuanku Sultan.

Seperti ditulis rakan Pedang, jawapan kepada soalan itu ada di sini.

Tajuk berita yang mengandungi jawapan Muhyiddin bagaimanapun berbunyi ‘Siapa calon keempat MB Johor?’. Berita itu disiarkan ismaweb.net pada sebelah pagi 12 Mei di mana nama MB belum diumum, dan DOS pula mengangkat sumpah pada jam 3 petang.

Dalam berita itu rakan Pedang ada tulis senarai nama yang diserahkan Muhyiddin kepada Sultan Johor. Mereka ialah DOS; Pengerusi PAN Johor, Aminolhuda Hassan; dan Timbalan Presiden PAN, Salahudin Ayub.

Bagaimanapun, rakan Pedang juga menimbulkan satu persoalan lain apabila ada menyebut ‘siapa calon keempat?’. Mungkin rakan Pedang tahu, tetapi tidak mahu memberitahu. Jadi bukan tiga nama yang diserahkan seperti yang diuar-uarkan. Ada satu nama lagi.

Ketika beberapa hari di Johor Bahru itu, Pedang dan rakan bertemu beberapa kenalan kami di kalangan pengamal media, termasuk yang bertugas di istana Johor. Satu soalan yang kenalan kami tanya kepada kami ialah mengenai DOS sebagai MB.

Terus terang Pedang dan rakan Pedang kata: “Tak lama”. Bukan kami hendak merendah-rendah DOS atau pihak di sekelilingnya, tapi ada sebab-sebab lain yang sukar hendak diberitahu kepada umum. Kami cuma beritahu sebab-sebab itu kepada kenalan-kenalan kami sahaja.

Masa terus berlalu. Dan tinggal beberapa hari sahaja lagi akan tiba 26 Syaaban (hari ini 4 Syaaban 1440H), untuk genap satu tahun hijrah DOS menjadi MB Johor, tiba-tiba beliau dikatakan menghantar surat letak jawatan, sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.

Jadi, betullah apa yang Pedang dan rakan Pedang kata ‘tak lama’. Tapi kami tak dapatlah nak cerita kenapa kami berkata demikian.

Dalam tempoh ‘tak lama’ itu maka berlakulah beberapa sebab yang telah dijangkakan, yang menjadikan DOS MB ‘tak lama’. Ini termasuk ‘tekanan’ yang beliau hadapi daripada pihak tertentu – mungkin daripada Pusat yang sebelum ini mengharapkan ‘individu keempat’ dipilih menjadi MB Johor.

Demikian juga semalam, sebaik Dr Mahathir mengumumkan DOS meletak jawatan, hebohlah pula mengenai siapa MB Johor yang baharu. Dalam heboh-heboh itu, muncul lagi nama Aminolhuda. Nama Salahuddin tak muncul kali ini kerana beliau sudah jadi menteri.

Seiring nama Aminolhuda, muncul pula nama tiga ahli Exco negeri iaitu Dr Sahruddin Jamal (Adun Bukit Kepong); Mohd Khuzzan Abu Bakar (Adun Semerah); dan Mazlan Bujang (Adun Puteri Wangsa), yang heboh diperkatakan bakal MB Johor. Nama Adun Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni, juga disebut-sebut sebagai calon.

Enam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu yang mempunyai peluang menjadi Menteri Besar Johor Ke-17.

Ingat! Perdana Menteri ketika sidang media di lobi Parlimen semalam, mengingatkan bahawa mengikut perjanjian di kalangan parti gabungan PH, kerusi MB Johor adalah untuk Bersatu.

Jika demikian halnya, Aminolhuda sudah pasti bukan calon yang tepat kerana beliau adalah daripada PAN. Begitu juga Mohd Khuzzan dan Md Ysahrudin daripada PKR.

Yang tinggal daripada nama-nama yang heboh diperkatakan itu hanya Dr Sahruddin dan Mazlan, kerana kedua-duanya adalah daripada Bersatu.

Betulkah Dr Sahruddin dan Mazlan sahaja orang Bersatu yang disenaraikan bakal calon MB Johor? Seperti rakan Pedang yang kata ‘Siapa calon keempat MB Johor?’ sebelum DOS mengangkat sumpah MB, maka Pedang pun hendak katakan ‘Siapa nama ketiga Adun Bersatu bakal MB Johor?’.

Dr Sahruddin, Pedang rasa lebih layak berbanding Mazlan, kerana beliau yang mewakili DOS dan Kerajaan Johor pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura yang berlangsung di Putrajaya semalam.

Tapi kena ingat juga masih ada empat lagi Adun Bersatu Johor, selepas kita ketepikan Muhyiddin, DOS, Dr Sahruddin, dan Mazlan. Salah seorang daripada mereka ialah Adun Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh, 58 tahun.

Beliau adalah bekas ahli PAS, yang kemudian menyertai UMNO, sebelum memihak kepada Bersatu. Dianggap ‘giant killer’ beliau yang lebih dikenali sebagai Datuk Z, adalah calon yang mengetepikan Pengerusi BN negeri yang juga MB Johor, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin pada PRU14 lalu.

Tiga Adun lagi ialah:

1. Adun Tenang, Mohd Solehan Badri;
2. Adun Larkin, Mohd Izhar Ahmad; dan
3. Adun Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi.

Apapun, Muhyiddin akan sekali lagi menghadap Tuanku Sultan Johor untuk menyembah senarai nama calon MB untuk diperkenankan salah seorang daripadanya.

Dan, Pedang percaya pemimpin tertinggi Bersatu akan menyenaraikan juga nama ‘orang keempat’ dalam berita yang rakan Pedang tulis di atas.

Pedang juga tanya rakan-rakan Pedang di kalangan Adun daripada UMNO Johor. Mereka kata: “individu ini memang bakal MB Johor.” Betul ke?

Cuma Pedang ingin tanya satu soalan. Betulkah ada tiga atau empat nama yang diserahkan untuk perkenan diraja? Atau sememangnya hanya ada satu nama sahaja? 

Wallahualam…

Kata Pedang: PH pun ‘tak lama’ kalau parti tamak haloba DAP terus buat hal.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net, tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close