Pendapat

Kekeliruan liberal mengenai Israk Mikraj

1. SEBAHAGIAN liberal menyatakan kejadian Israk Mikraj hanyalah berlaku melalui mimpi Rasulullah ﷺ sahaja. Mereka mengeluarkan pandangan itu dengan kenyataan yang dikatakan bersumber dari Saidatina Aisyah yang menyebut:

مَا فُقِدَ جَسَدُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَلَكِنَّ اللَّهَ أَسْرَى بِرُوحِهِ

“Tidak hilang jasad Rasulullah ﷺ (pada malam Israk Mikraj) akan tetapi Rasulullah ﷺ berlakunya Israk Mikraj ini secara rohnya sahaja.” (Diriwayatkan oleh Ibn Hisham di dalam Sirah Nabawiyyah).

2. Kenyataan yang disandarkan kepada Saidatina Aisyah ini telah dinilai daif oleh ramai sarjana muslim termasuklah Sheikh Alawi al-Saqqaf (Takhrij Ahadith al-Zilal) dan Sheikh al-Albani. Malah Sheikh Muhammad Rashid Rida menyebutkan:

قد تجد حديثين عن عائشة ومعاوية ، يُفْهِمان أن الإسراء لم يكن بجسده الشريف ، وهما حديثان ليسا مما يحتج بمثلهما أهل العلم بالحديث

“Kamu akan mendapati dua hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah dan Saidina Muawiyyah, yang mana kedua hadis itu seolah menyatakan peristiwa Israk tidak berlaku dengan jasad Rasulullah. Kedua-dua hadis ini adalah hadis yang tidak dijadikan hujah oleh ahli ilmu di dalam bidang hadis.” (Majalla al-Manar)

Sekiranya ia berlaku di dalam mimpi sahaja, maka ia tidaklah dinamakan sebagai mukjizat (sesuatu yang tidak boleh dilakukan oleh manusia biasa). Malah sekiranya Israk Mikraj ini sekadar mimpi sahaja, Abu Jahal barangkali tidak perlu membantah kerana ia hanyalah mimpi.

3. Bahkan mengapa kita perlu memakai riwayat yang daif ini sedangkan ramai sarjana muslim mengesahkan bahawa kejadian Israk dan Mikraj ini berlaku secara jasad melalui riwayat yang mutawatir.

Menurut al-Imam al-Qastalani, hadis Israk Mikraj adalah hadis mutawatir iaitu seramai 26 sahabat meriwayatkan hadis itu. Pandangan yang sama turut dinyatakan oleh sarjana muslim yang lain termasuklah Sheikh Shanqiti dan al-Imam Ibn al-Qayyim.

4. Kisah-kisah ini sekalipun maknanya aneh, tetapi ia disampaikan dengan jalan yang mutawatir. Sama seperti al-Quran, periwayatannya dilakukan melalui riwayat mutawatir. Dalam al-Quran, Allah turut menampilkan kisah-kisah aneh dan kita boleh pula menerimanya. Antara kisah ajaib yang dinukilkan di dalam al-Quran:

a. Tongkat Nabi Musa yang membelah laut. Tongkat Nabi Musa menjadi ular. Tangan Nabi Musa bercahaya.

b. Nabi Isa bercakap ketika bayi. Nabi Isa boleh menghidupkan yang telah mati.

c. Nabi Ibrahim tidak terbakar bila dicampak ke dalam api.

Walaupun, kisah-kisah ini gambarannya aneh, tetapi manusia beriman dengannya dan ia datang dengan jalur riwayat mutawatir. Sama seperti hadis Israk Mikraj, ia dinukilkan melalui kaedah yang sama iaitu riwayat mutawatir. Lalu Muslim beriman dengannya.

5. Apa yang penting adalah mesej yang ingin disampaikan oleh Allah melalui peristiwa ini. Sama ‘nature’ nya seperti al-Quran, hadis ini menyampaikan beberapa mesej utama yang perlu kita hayati.

Semoga Allah membimbing kita semua.

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close