Berita UtamaUtama

Isu FGV: Siapa dongeng?

FGV rugi RM1 bilion sejak PH ambil alih tahun 2018

BANGI, 4 Syaaban 1440H, Rabu – FGV Holdings Bhd tidak pernah rugi sejak disenaraikan pada tahun 2012, demikian tegas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di laman Facebooknya hari ini.

Membidas semula kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat hari ini, Najib berkata, walaupun harga sawit jatuh dan fenomena El Nino melanda selepas disenaraikan, FGV tetap tidak alami kerugian.

“PM ke-7 mencelah Ahmad Maslan. Siapa dongeng? Kalau berucap di dalam Dewan Rakyat, mesti berdasarkan fakta.

“Dewan Rakyat bukan pentas ceramah. FGV tak pernah rugi sejak disenaraikan pada tahun 2012,” katanya.

Najib berkata, pada tahun 2017, FGV mula pulih apabila keuntungan hampir berganda kepada RM400 juta, namun selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih, syarikat berkenaan rugi RM1 bilion untuk tahun 2018, kali pertama sejak disenaraikan tujuh tahun lalu.

“Tetapi apa yang lebih membimbangkan ialah perolehan atau penjualan FGV telah jatuh RM3.5 bilion (21 peratus) pada tahun 2018 berbanding tahun 2017.

“Kejatuhan ini serius kerana FGV membeli buah tandan segar dan minyak sawit dari Felda dan peneroka untuk dipasarkan kepada dunia,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir di Dewan Rakyat hari ini mempersoal di manakah duit FGV Holdings Bhd yang didakwa mencatat keuntungan besar.

Beliau yang merujuk dirinya sebagai Anggota Parlimen Langkawi bertanya perkara itu ketika mencelah sewaktu Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) sedang membahaskan Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah Persekutuan (Felda)’.

“Sebagai wakil rakyat Langkawi, saya kagum dengan cerita-cerita dongeng yang disampaikan. Yang saya hairan, kenapa dia (Ahmad) tidak beritahu kepada ‘bossku’ lama dia, supaya hari ini kita tidak ada masalah dan tak perlu ada Kertas Putih. Semua bersih belaka.

“Tetapi penyangak-penyangak ini telah meninggalkan bekas-bekas mereka dan kitalah yang perlu bersihkan, dan tuan-tuan dan puan-puan begitu banyak untung FGV ini, berbilion-bilion, (boleh) tolong tunjuk di mana duit itu ada?” katanya.

Mengulas lanjut, Najib berkata, jika penjualan sawit FGV jatuh, maka pembelian FGV daripada Felda dan peneroka turut jatuh.

“Kejatuhan penjualan sebanyak 21 peratus atau RM3.5 bilion penjualan bukan satu isu remeh dan merupakan antara faktor utama FGV rugi RM1 bilion untuk tahun 2018.

“Tidak pernah berlakunya penjualan FGV jatuh begitu banyak dalam mana-mana tahun sebelum ini. Penjualan jatuh RM3.5 bilion bersamaan dengan dana RM3.5 bilion telah lesap dari poket FELDA dan peneroka,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close