Berita UtamaIstimewaUtama

BN akan serah cadangan bubar DUN kepada Sultan Johor

Ketua Pembangkang kata PH tidak ada calon berwibawa jadi MB

BANGI, 4 Syaaban 1440H, Rabu – Ketua Pembangkang Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad akan mempersembahkan cadangan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kepada Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, dalam masa terdekat.

“Saya akan menulis surat kepada Sultan Johor dan akan mohon menghadap baginda bagi mencadangkan supaya DUN dibubarkan. Saya akan tunggu baginda tuanku pulang ke negeri ini dalam masa terdekat,” katanya.

Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu berkata, Johor memerlukan seorang menteri besar yang berpengalaman dan mampu mentadbir negeri ini, jika mahu terus bergerak ke hadapan sekali gus mencapai usaha menjadi kuasa ekonomi baharu negara.

Justeru, cadangan itu disifatkannya sebagai langkah terbaik untuk Johor kerana tiada calon yang difikirkan layak menjadi Menteri Besar dalam kalangan Pakatan Harapan (PH).

“Langkah itu juga saya fikir akan membolehkan rakyat membuat pilihan yang tepat dan tidak lagi memilih barisan pemimpin kerana mahu mencuba-cuba. Kita mahu lihat Johor terus maju ke hadapan,” katanya.

Terdahulu, Datuk Osman Sapian dilaporan meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Johor, berkuat kuasa Isnin, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, Osman menyerahkan dua surat peletakan jawatan kepadanya dalam satu pertemuan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, kelmarin, dengan satu daripadanya akan diserahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Memetik laporan Sinar Harian, Hasni menzahirkan ucapan terima kasih kepada Osman kerana mengambil tindakan bertanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor.

Beliau berkata, Osman sepatutnya digantikan lebih awal lagi susulan beberapa tindakan yang tidak disenangi rakyat sehingga menyebabkan menerima kritikan selain banyak lagi isu yang dihadapi ketika memimpin Johor.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close