Berita UtamaDuniaUtama

Qatar saman bank Arab Saudi, UAE dakwaan manipulasi riyal

Doha tuduh 3 bank kemuka sebut harga palsu tukaran asing di New York

DOHA, 3 Syaaban 1440H, Selasa – Qatar memfailkan tindakan undang-undang di London dan New York terhadap beberapa bank di Arab Saudi serta Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang didakwa memanipulasi mata wang luar negara bertujuan mensabotaj ekonomi ketika krisis diplomatik antara Riyadh dan Doha.

Tindakan saman itu difailkan ke atas Banque Havilland yang berpangkalan di Luxembourg; Bank First Abu Dhabi (FAB); dan Bank Samba Arab Saudi, kata pejabat komunikasi kerajaan Qatar dalam satu kenyataan, semalam.

Kenyataan itu menyebut bahawa Banque Havilland cuba melemahkan mata wang riyal Qatar dengan mengemukakan sebut harga palsu kepada platform pertukaran asing di New York, dalam usaha untuk menganggu indeks dan pasaran aset serta pelaburnya.

Bank First Abu Dhabi dan Bank Samba juga terbabit dalam manipulasi pasaran kewangan itu, kata kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan butiran kerugian atau jumlah pampasan dituntut.

Bank Pusat Qatar sedang menyiasat cubaan untuk menjatuhkan nilai mata wangnya, ketika krisis diplomatik antara negara itu dan Arab Saudi berlaku sejak hampir dua tahun lalu.

Qatar berdepan sekatan ekonomi dan diplomatik oleh Arab Saudi serta beberapa sekutunya sejak Jun 2017.

Lima negara Arab membabitkan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Yaman dan Mesir memutuskan 100 peratus hubungan dengan Qatar selepas masing-masing mendakwa Doha melindungi pengganas, menyokong militan Syiah Hizbollah, al-Qaeda, campur tangan dalam hal ehwal negara lain dan cuba mencetuskan perselisihan di kalangan pegawai kerajaan asing.

Antara kumpulan ekstremis yang didakwa Arab Saudi dibantu dan disokong oleh Qatar ialah Ikhwanul Muslimin; ISIS dan al-Qaeda dengan maksud merencana hasutan menerusi media mereka.

Kelima-lima negara itu juga menutup ruang udara mereka, serta tidak membenarkan rakyat Qatar memasuki negara mereka. Doha bagaimanapun, menafikan semua tuduhan berkenaan.

Tahun lalu, Gabenor Bank Pusat Qatar berkata, ekonomi negara itu menunjukkan daya tahan dalam berdepan sekatan yang diketuai Riyadh.

“Kita telah mengatasi krisis ini, dan ia menjadi lebih kuat berbanding sebelumnya,” kata Sheikh Abdullah bin Saud Al Thani di Persidangan Euromoney Qatar 2018, pada 11 Disember lalu.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close