Berita UtamaDuniaIstimewaUtama

Pilihan raya: Israel tutup Palestin

Rejim pengganas Zionis beku permit kerja kepada warga Palestin

BETHLEHEM, 3 Syaaban 1440H, Selasa – Rejim pengganas Israel mengisytiharkan penutupan sementara Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, bagi menghadapi pilihan raya umumnya hari ini.

Penutupan ke atas dua wilayah yang diduduki dan dikepung itu bermula tengah malam tadi dan berterusan sehingga tengah malam esok.

“Mengikut penilaian situasi keselamatan dan arahan pada peringkat politik, penutupan penuh akan dilakukan di Tebing Barat dan semua laluan di Semenanjung Gaza pada 9 April,” kata rejim itu dalam satu kenyataan.

Tindakan itu turut membabitkan pusat pemeriksaan dan laluan sempadan di Tebing Barat serta Gaza, termasuk membekukan permit kerja yang dikeluarkan kepada pekerja rakyat Palestin.

Lintasan komersial Kerem Shalom dan Beit Hanoun (Erez) ke Semenanjung Gaza juga akan ditutup. Sekatan rejim pengganas itu sekali gus memberi kesan kepada ribuan penduduk Palestin.

Pilihan Raya Umum Israel diadakan hari ini selepas pemimpin pakatannya sebulat suara memutuskan untuk membubarkan Parlimen pada Disember tahun lalu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menerima saingan sengit dalam pilihan raya kali ini, ketika dia berdepan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

Parti Likud yang berhaluan kanan dipimpin Netanyahu bakal dicabar pakatan politik Biru dan Putih yang diterajui Benny Gantz, sebagai pesaing utama dalam pengundian bagi memilih anggota Knesset (Parlimen Israel).

Dalam kempennya sebelum ini, Netanyahu mengambil langkah baharu mencabul undang-undang antarabangsa apabila menyatakan keinginan untuk merampas Tebing Barat sepenuhnya – wilayah yang diduduki sejak 1967 – jika dia dipilih semula sebagai perdana menteri.

Netanyahu menerusi satu temu bual menyatakan dia ‘tidak berasa malu’ untuk meluaskan jajahan Zionis di Tebing Barat yang ketika ini semakin dipenuhi dengan penduduk Yahudi.

Dia juga menegaskan Israel tidak akan ‘mengeluarkan walaupun seorang penduduknya’ dari Tebing Barat.

Sehingga kini, lebih 400,000 penduduk Israel tinggal di Tebing Barat, bersama lebih 2.5 juta warga Palestin.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close