Berita UtamaDr Ridhuan Tee AbdullahIstimewaKolumnisUtama

Timbalan menteri pendidikan ultra kiasu licik, kena dipantau

Kajian Pasukan Petugas Dasar UEC hanya laluan mengiktiraf UEC

HAIRAN sungguh saya dengan timbalan menteri pendidikan ultra kiasu ini. Sepatutnya dia bercakap bagi pihak kerajaan bukan bagi pihak Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah menengah persendirian Cina.

UEC masih dalam peringkat kajian untuk diiktiraf oleh kementerian beliau sendiri. Takkan beliau tidak maklum perkara ini? Tidak perlu mengeluarkan apa jua kenyataan apatah lagi menyokong seperti yang dilakukannya.

Beliaulah orang yang pertama mengucapkan tahniah apabila Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB) yang diketuai Peguam Negara sendiri membuat pengumuman mengiktiraf UEC.

Menteri ultra kiasu ini melahirkan rasa gembira UEC pada tahap Senior Middle 3 diiktiraf sebagai kelayakan pada peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan A-Levels untuk menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP), dan berharap semua pihak tidak mempolitikkan keputusan LPQB itu.

Bukan soal mempolitikkan LPQB, tetapi LPQB telah mendahului kerajaan. Benar, ia di bawah bidang kuasa LPQB, tetapi tunggulah dulu kajian kerajaan yang diwakili oleh Kementerian Pendidikan (KPM). Siapa lebih berkuasa? Kerajaan atau Peguam Negara.

Keadaan ini, jelas memperlihatkan kajian yang sedang berlangsung, yang dilakukan oleh Pasukan Petugas Dasar UEC (PPDUEC),
adalah laluan untuk mengiktiraf UEC. Itu yang saya katakan, membazirkan duit rakyat sahaja.

Saya mohon KPM supaya memerhati dengan rapi pergerakan timbalan menteri pendidikan ultra kiasu ini. Pergerakannya sangat licik dan kadang kala mendahului menteri beliau sendiri.

Tidak sepatutnya beliau mendahului menteri kerana beliau hanya timbalan. Timbalan mesti tertakluk kepada menteri dan tidak boleh bertindak sendirian dan mengeluarkan kenyataan sewenang-wenang mendahului menteri. Perlu diingat bahawa beliau berada dalam kerajaan dan bukan dalam parti ultra kiasu dan NGO ultra kiasu seperti Dong Zong dan Jiao Zong.

Sepatutnya beliau mengeluarkan kenyataan dan nasihat bahawa UEC mesti patuh kepada segala terma dan syarat KPM. KPM adalah institusi tertinggi dalam menentukan hala tuju pendidikan negara.

Pengiktirafan UEC adalah tindakan zalim dan tidak berlaku adil kepada pelajar Cina yang lain berada dalam sistem kebangsaan, seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC).

Bayangkan pelajar Cina yang berada dalam sistem, bertungkus lumus belajar, sehingga mendapat keputusan yang baik. Tiba-tiba terpaksa bersaing dengan pelajar UEC yang terkeluar daripada sistem pendidikan negara ini. Nyata sekali UEC bukan sahaja mengganggu sistem pendidikan sedia ada, tetapi turut menghalang pelajar Cina yang lain.

Sejak dahulu lagi, UEC keras kepala. Tidak pernah mahu mengalah. Mereka tahu, dan memang tahu, bahawa kerajaan sejak dahulu, hingga kini, masih tidak mengiktiraf. Keadaan ini akan menyebabkan mereka tidak akan diterima, seperti kemasukan ke universiti awam dan perkhidmatan kerajaan.

Mereka tahu semua ini… sangat tahu, tetapi mereka teruskan juga. Kenapa? Kerana mereka keras kepala dan mahu mencabar kerajaan. Mereka tahu suatu hari ini kerajaan mesti akan mengiktiraf UEC disebabkan oleh tekanan politik membabitkan undi. Peliknya, kenapa kita terus memberi muka?

Lebih menyedihkan lagi apabila, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tiada masalah untuk menerima pakai UEC bagi menduduki CLP, asalkan dasar bahasa dan pendidikan kebangsaan dimartabatkan. Katanya, kerajaan perlu memastikan mata pelajaran asas seperti Bahasa Melayu dan Sejarah diambil kira untuk dimasukkan dalam UEC.

Tahukah pemimpin PKR ini bahawa UEC tidak pernah patuh kepada syarat yang ditetapkan oleh KPM sejak dahulu hingga kini. Kurikulum, silibus dan peperiksaan mereka semuanya dikendalikan oleh NGO-NGO mereka iaitu Dong Zong dan Jiao Zong. KPM seolah-olah tidak ada peranan di situ.

Kenyataan Anwar yang dipetik dalam Berita Harian (31 Mac 2019), “Kita serah kepada Kementerian Pendidikan untuk meneliti… setakat kita tahu, memang mereka ikut kerana ia berpandukan kurikulum SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). ”

Sejak bila mereka ikut? Sejak bila pula kurikulum mereka berpandukan SPM? Peperiksaan SPM dan STPM dikawal oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Majlis Peperiksaan Malaysia, sedangkan UEC langsung tidak mendapat kebenaran atau kelulusan LPM dan MPM.

Sijil ultra kiasu UEC ini tidak pernah ikut arahan LPM dan MPM? Yang ada adalah lembaga peperiksaan mereka sendiri dalam kalangan Dong Zong dan Jiao Zong. Mana ada sistem seperti ini di dunia, NGO menentukan hala tuju pendidikan negara dan turut mengeluarkan sijil kepada pelajar mereka. Jika asas sebegini tidak dipatuhi, kita mahu bercakap apa lagi?

Saya sudah letih bercakap isu ini sejak dahulu hingga kini. Tidak pernah selesai hanya kerana kemarukkan undi. Kerana undi yang membabitkan peralihan kuasa, kita sanggup korbankan agenda dan maruah negara. Saban hari saya menjadi hairan dan pelik. Kita nak bawa ke mana pendidikan negara ini?

Perlu diingat, agenda UEC, bukan hanya agenda DAP, tetapi MCA dan Gerakan. Mereka berjuang mempertahankan sekolah persendirian Cina ini bukan baharu, tetapi sejak dahulu lagi.

Cina bersatu dalam segala bidang termasuk pendidikan, tidak mengapa, tidak ada siapa halang. Begitu juga dengan India. Pelik bin hairan apabila ada Melayu/Islam yang baharu sahaja mengajak untuk kita semua bersatu, maka ada suara-suara macai kuda tunggangan yang berkata itu adalah rasis dan Taliban. Kebodohan dan kejahilan jenis apakah ini?

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close