Berita UtamaIstimewaKata PedangUtama

Statut Rom misi besar ‘singkir’ PM

Siapa 'individu yang mempunyai cita-cita politik' dan menggunakan raja-raja? - Dr Mahathir kata beliau tahu, Pedang sekadar agak-agak saja

PEDANG pernah beritahu dulu… seseorang penulis mendapat idea apa yang hendak dicoretkan menerusi pelbagai cara dan keadaan berbeza. Dulu pun, Pedang pernah beritahu cara dan keadaan Pedang dapat idea menulis.

Kadang kala dalam bilik air – keadaan ini dialami bukan sahaja di kalangan kebanyakan penulis, tetapi juga semua orang. Sambil-sambil ‘termenung’ dalam bilik air, lebih baik bagi otak jalan sikit. Fikir apa yang hendak dibuat lepas itu.

Tetapi, mendapat idea atau ilham – dalam istilah orang surat khabar ‘mendapat wahyu’ (‘mendapat wahyu’ ini pun ada dua sebenarnya (1) idea sendiri, (2) perintah atau arahan daripada orang atasan) – bergantung kepada isu atau apa yang difikirkan oleh penulis.

Sama juga idea menulis kali ini. ‘wahyu’ datang kepada Pedang masa tidur. Sedap-sedap tidur, tiba-tiba terjaga jam 4 pagi lantas terfikir sesuatu yang berlaku sebelum Pedang tidur. Bangun, buka laptop, ketuk sikit apa perkara yang membuatkan Pedang terjaga tadi. Tutup laptop, kemudian buat apa yang sepatutnya.

Habis selesai, buka semula laptop dan mula mengetuk idea tadi. Apa isu yang tiba-tiba muncul ketika Pedang terjaga jam 4 pagi tadi?

Agenda dan cita-cita politik siapa?

Pedang imbas sedikit apa yang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kata pada sidang medianya Jumaat lalu, ketika mengumumkan keputusan kerajaan membatalkan pengiktirafan terhadap Statut Rom, dan menarik diri daripada menyertainya. Malaysia menandatangani penyertaan dalam Statut Rom itu pada 4 Mac lalu.

Tun M cakap ini dalam bahasa Inggeris… Pedang terjemahkan. Kata Tun M:

“Kami faham ini adalah satu gerakan politik. Gerakan politik bagi mendapatkan raja-raja untuk menyokong mereka. Sudah pasti sesetengah daripada kerabat diraja mungkin terbabit.

“Tetapi keseluruhan idea ialah untuk mengajak Raja-Raja di Malaysia menentang kerajaan ini… itu adalah motifnya… Tapi disebabkan kekeliruan ini, dan kekeliruan ini juga di kalangan Raja-Raja, kami telah membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf Statut Rom.

“Kita telah meratifikasikannya… tapi kita masih ada masa untuk menarik diri… dan kita akan tarik diri. Bukan disebabkan oleh Statut Rom tidak baik untuk kita, tetapi disebabkan kekeliruan politik oleh sesetengah individu, termasuk sesetengah individu yang mempunyai cita-cita politik… kita tahu ini.”

Pedang tak tahulah apa yang orang lain faham mengenai kenyataan Tun M di atas. Bagi Pedang, kita kena lihat rentetan kata-kata itu, yang dimulakan dengan “Kami faham ini adalah satu gerakan politik. Gerakan politik bagi mendapatkan raja-raja untuk menyokong mereka…”

Tentulah yang dimaksudkan oleh Tun M ialah ‘orang politik’ yang memulakan gerakan itu, bukan raja-raja yang mulakan. Dan, ‘orang politik’ ini bijak – menggunakan kerabat diraja. Sebab itu Tun M menambah “Sudah pasti sesetengah daripada kerabat diraja mungkin terbabit”.

Pedang tak nafikan, kenyataan Tun M itu juga merujuk kepada ‘sesetengah kerabat diraja’ yang boleh dianggap seperti ‘selebriti’ kerana terkenal. Tetapi, Pedang tegaskan bahawa bukan mereka yang mulakan ‘gerakan’ ini, sebaliknya adalah ‘orang politik’.

“Engkau tahu… ini adalah gerakan besar untuk memalukan ‘old man’ di kalangan orang Melayu apabila isu nasional terkait dengan raja-raja. Mudah saja. Kalau babitkan raja-raja, orang Melayu sensitif.

“Dalam hal ini, siapa yang kena serang? ‘Old man’ lah… sebab dia PM… yang lain diam. Kalau bersuara pun macam to throw the stone and hide the hand… Ini agenda besar… nampak?

“Siapa kena hentam sekarang? Old man yang kena. Yang lain diam saja,” Demikian kata rakan Pedang yang rapat dengan Tun M sejak lama dulu. Biasanya kalau Pedang dengan rakan ini berbual mengenai Tun M, kami merujuk beliau sebagai ‘old man’.

‘Orang politik’? Siapa? Sekarang yang kuat menghentam, marah Dr Mahathir adalah UMNO. Kerana salah satu sebab Barisan Nasional (BN) kalah PRU14 lalu, ialah Tun M.

Jadi sekarang ini, kita sudah tahu siapa ‘individu politik bercita-cita’ yang dimaksudkan Tun M pada sidang medianya Jumaat lalu – orang UMNO. Eh… betul ke?

Pokoknya kalau kita diam dan buat kerja lebih bagus daripada banyak bercakap. Kalau banyak bercakap takut akan terdedah kesalahan. Tak kira siapa… personaliti ke, selebriti ke, orang politik ke…

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiba-tiba membayangkan dan berkata, pihak yang disebut Dr Mahathir sebagai cuba menjatuhkan beliau adalah personaliti daripada keluarga diraja.

Iyalah! Dah wartawan tanya, maka Anwar pun jawab. Ketika ditanya  selepas pertemuan santai bersama veteran tentera di Sendayan, ketika kempen PRK Rantau, dipetik sebagai berkata:

“Kenyataan itu sangat khusus. Perdana Menteri merujuk kepada percubaan daripada personaliti dalam keluarga diraja dan tidak merujuk kepada mana-mana pihak dalam parti… Kadang-kadang penafsiran negatif oleh politik pembangkang juga perlu kita ambil kira dan jelaskan.” (MalaysiaGazette)

Siapa lagi pembangkang kalau bukan UMNO dan PAS. Tapi, betul ke? Sebab penafsiran Pedang berdasarkan apa yang Pedang kata di atas tadi berbeza. Bagi Pedang Tun M kata ‘individu bercita-cita politik’ yang mempergunakan ‘personaliti diraja’, bukan sebaliknya.

Kemungkinan juga ‘individu bercita-cita’ yang dimaksudkan oleh Tun M itu datang daripada parti gabungan Pakatan Harapan (PH) sendiri. Tidak mustahil! Sama-sama fikir…

Agenda dan gerakan untuk menggulingkan Tun M daripada kerusi PM memang besar… bukan rahsia lagi.

Macam-macam cara digunakan. Itulah politik. Dan, kata rakan Pedang itu lagi, “…bukan old man tak tahu akan ada bantahan… dia biar saja… nak ratifikasi dan lihat kesannya permainan itu…”

Itu saja tulisan Pedang buat kali ini… dah nak Subuh. Tapi sebelum itu…

Kata Pedang: Fahamilah peribahasa ‘jangan bagai orang patah selera, banyak makan’… ‘dilahir serupa tidak, dibatin menggunting angin’… ‘sekali membuka pura, dua tiga hutang terbayar’.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net, tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close