Berita UtamaUtama

TH: Usah jadikan kelemahan kerajaan dahulu sebagai alasan

Kembalikan TH kepada fungsi asal penubuhannya, gesa Pemuda PAS

BANGI, 30 Rejab 1440H, Sabtu – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa mengembalikan Lembaga Tabung Haji (TH) kepada fungsi asalnya iaitu sebagai tabungan kepada pendeposit untuk menunaikan ibadah haji serta kebajikannya.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, TH perlu dikembalikan kepada landasan serta matlamat asal penubuhannya sekali gus kembali menjadi kebanggaan umat Islam.

Oleh itu katanya, sekiranya benar TH bermasalah, satu pelan pemulihan yang berkesan dan konstruktif perlu dilaksanakan kerana tidak mahu rakyat terutamanya umat Islam hilang keyakinan kepada TH.

Mengulas mengenai pengumuman agihan hibah TH sebanyak 1.25 peratus yang membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendepositnya bagi tahun kewangan 2018 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) semalam, Khalil berkata pengumuman itu adalah paling rendah dalam sejarah TH sejak penubuhannya.

“Saya rasa satu Malaysia hendak tahu jawapan sebenar mengapa hibah dibayar terlalu sedikit dan keadaan TH yang sebenar. Saya rasa satu Malaysia hendak tahu bagaimana kerajaan terutamanya Kementerian Kewangan mengendalikan SPV (Syarikat Tujuan Khas) berkaitan aset-aset yang dipindah milik dari TH.

“Saya pasti satu Malaysia hendak tahu siapa sebenarnya mengetuai SPV itu dan bagaimana beliau mengendalikannya. Saya juga pasti satu Malaysia mahu orang Islam yang mengetuai dan mengendalikan SPV itu memandangkan TH adalah di antara institusi Islam yang terbesar di dalam negara yang mempunyai tunai dan aset yang cukup besar di dalam mahupun luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Khalil meminta kerajaan berhenti memberikan alasan bahawa jumlah pengurangan hibah yang dibayar adalah salah guna kuasa dan kelemahan kerajaan terdahulu menguruskan TH.

Katanya, semenjak PH menang PRU14 dan menjadi kerajaan, setiap kelemahan yang terdapat di peringkat kementerian mahupun agensi kerajaan jawapannya adalah salah guna kuasa dan kelemahan kerajaan terdahulu.

“Saya harap cukuplah jawapan yang itu dan memang diakui terdapat kelemahan pada TH namun usahlah kelemahan itu dijadikan alasan,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close