Berita UtamaUtama

120 mangsa pencemaran kimia buat laporan polis

Tuntutan saman ganti rugi tumpu kos perbelanjaan ditanggung mangsa

JOHOR BHARU, 30 Rejab 1440H, Sabtu – Seramai 120 individu membuat laporan polis hari ini, berhubung bencana pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada Mac lalu.

Laporan masing-masing daripada penduduk di sekitar Taman Pasir Putih, Pasir Gudang Baru, Cahaya Baru dan Taman Scientex itu dilakukan mulai jam 3 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini, merangkumi tuntutan ganti rugi berhubung kejadian itu.

Peguam yang mewakili kesemua individu berkenaan, Kamarudin Ahmad berkata, asas saman tuntutan ganti rugi itu di atas kecuaian pihak berkuasa dan pemilik kilang yang menjadi dalang kepada pencemaran akan dibuat pada Jun depan.

Sehubungan itu, beliau berkata, tuntutan akan dibuat setelah pihaknya mendapat kesemua maklumat termasuk, laporan kesihatan penuh daripada kesemua anak guamnya.

“Tuntutan saman ganti rugi ini adalah tertumpu kepada kos perbelanjaan daripada segi perubatan, perjalanan dan pemeriksaan kesihatan yang perlu ditanggung mangsa,” katanya.

Selain itu, Kamarudin berkata, tuntutan dibuat juga mengambil kira kesan jangka panjang yang mungkin dialami mangsa sejak bencana pencemaran sisa kimia itu melanda pada 7 Mac lalu.

“Antara kalangan mereka, ada yang mengalami simptom seperti sesak nafas, sesak dada, muntah-muntah dan pengsan.

“Saya juga ada berjumpa dengan satu keluarga ini, di mana, anaknya mengalami masalah urat saraf sehingga kakinya tidak boleh jalan, jadi kita bimbang akan kesan jangka panjangnya,” katanya. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close