Pendapat

Kekeliruan liberal mengenai perhambaan

Islam letak dasar jelas dalam usaha lenyapkan sistem penghambaan

1. ADA dalam kalangan pendukung liberal yang menyatakan bahawa Islam tidak pernah menghapuskan penghambaan. Dakwaan ini adalah tidak tepat. Ini kerana usaha untuk menghapuskan sistem penghambaan itu telah dianjurkan oleh al-Quran dan Rasulullah ﷺ sendiri.

2. Rasulullah ﷺ memulakan kempen ini dengan menggalakkan kepada pembebasan hamba. Sabda Rasulullah ﷺ:

«مَنْ أَعْتَقَ رَقَبَةً أَعْتَقَ اللَّهُ بِكُلِّ عُضْوٍ مِنْهَا عُضْوًا مِنْ أَعْضَائِهِ مِنَ النَّارِ حَتَّى فَرْجَهُ بِفَرْجِهِ

“Barangsiapa yang membebaskan seorang hamba, Allah akan membebaskan setiap anggota badannya daripada neraka sehingga dia terselamat dengannya.” (HR al-Bukhari).

3. Bukan itu sahaja, Baginda turut menjadikan amalan membebaskan hamba ini sebagai satu kaedah menghapuskan dosa. Perkara ini dinukilkan oleh al-Imam al-Bukhari yang menceritakan bahawa terdapat seorang lelaki yang telah bersetubuh dengan isterinya dalam bulan Ramadan. Soalan pertama yang ditanya oleh Rasulullah ﷺ adalah:

قال: « هَلْ تَجِدُ مَا تُعْتِقُ رَقَبَةً؟

“Apakah engkau memiliki hamba yang boleh engkau bebaskan?”

Jelas di sini Baginda segera mencari jalan ke arah pembebasan hamba di zamannya. Malah terdapat banyak lagi kesalahan yang menjadikan pembebasan hamba sebagai medium kaffarah seperti kesalahan salah bunuh dan zihar.

4. Baginda turut menunjukkan contoh dengan memberikan jalan pembebasan tawanan perang supaya mereka tidak dijadikan hamba. Perkara ini berlaku di dalam perang Badar. Kata Dr Raghib al-Sirjani, Baginda menggunakan dua pendekatan dalam membebaskan tawanan supaya tidak menjadi hamba iaitu:

(تبادل الأسرى) وذلك بِرَدِّ عدد من الأسرى مقابل عدد من أسرى المسلمين، أو قَبُول (الفداء) وذلك بإطلاقهم نظير مقابل مادِّيٍّ أو أدبي كما فعل في أسرى بدر، فأطلق بعضهم مقابل مال، وجعل إطلاق بعضهم نظير تعليمهم لبعض المسلمين القراءة والكتابة،

“Iaitu (yang pertama) adalah pertukaran tawanan. Iaitu tawanan kumpulan yang bermusuh akan saling bertukar tawanan perang supaya tiada yang akan dijadikan hamba. (dan yang kedua) adalah menerima bayaran tebusan sama ada bayaran dengan wang atau dengan pembelajaran.

“Perkara ini dilakukan oleh Rasulullah ﷺ dalam perang Badar di mana sebahagian tawanan Quraish dibebaskan dengan harta manakala sebahagian yang lain dibebaskan dengan syarat mereka mengajar orang Islam membaca dan menulis.”

5. Lihatlah bagaimana Rasulullah berusaha membebaskan hamba, malah menjadikan pembebasan hamba itu sebagai salah satu usaha untuk membantu memartabatkan pendidikan ummah.

6. Malah Baginda turut menjadikan perkahwinan Baginda sebagai medium untuk membebaskan hamba. Perkara ini berlaku di dalam Perang Bani Mustaliq di mana Rasululllah mendirikan rumah tangga dengan salah seorang tawan iaitu Juwairiyyah binti Harith yang menyebabkan ramai tawanan yang lain dibebaskan kerana bersaudara dengan Juwairyyah.

Sheikh Soleh al-Shami menyebutkan, apabila kaum muslimin mendengar perkahwinan dengan Juwariyyah, mereka lalu berkata:

وقالوا: “أصهار رسول الله. فأُعتق بسببها مائة أهل بيت من بني المصطلق”

“Mereka ini semua saudara (ipar-ipar) Rasulullah ﷺ! Lalu dengan perkahwinan ini seramai 100 ahli keluarga daripada Bani Mustaliq dibebaskan.

7. Sistem penghambaan yang telah berakar umbi sebelum kedatangan Islam ini telah ditangani dengan baik. Islam meletakkan dasar yang jelas dalam usaha membebaskan dan melenyapkan sistem penghambaan. Namun, apabila muslim gagal melaksanakan dasar Islam ini, jangan pula kita fitnah Islam. Usaha dan dasar telah jelas seperti di dalam al-Quran dan hadith.

Semoga Allah membimbing kita semua.

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close