Berita UtamaIstimewaKata PedangUtama

UEC: Pengiktirafan LPQB tak sah

Tuduhan berat, polis kena siasat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia

SELESAI SATU MASALAH! Semalam, ada dua kenyataan daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang Pedang anggap penting bagi menjaga keamanan negara, khususnya dari segi pendidikan dan keselamatan.

Pertama, mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), di mana beliau menegaskan bahawa, hanya kerajaan sahaja yang boleh memberi pengiktirafan, sama ada menerima pakai atau tidak sijil yang dikeluarkan oleh sekolah menengah persendirian Cina itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengiktirafan dibuat oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB) dipengerusikan Peguam Negara, Tommy Thomas, ke atas UEC bagi menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

Perdana Menteri menjelaskan bahawa pengiktirafan yang dibuat itu hanya ‘pendapat’ lembaga berkenaan sahaja, sedang pengiktirafan sebenar hanya boleh dibuat oleh kerajaan.

Susulan kenyataan Tun M itu, Pedang membuat rumusan bahawa pengiktirafan yang diumumkan Tommy Thomas, Jumaat lalu, terbatal, sekali gus tidak sah.

Jika LPQB mengguna pakai juga UEC untuk mana-mana lulusan perundangan menduduki peperiksaan CLP, kemungkinan kelayakan seseorang peguam akan dipertikaikan jika mereka berada di dalam mahkamah.

Sebab itu, ramai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik dan pemimpin politik, mengutuk tindakan LPQB mengiktiraf UEC dan menyamakannya dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), O-Level atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mereka juga berkata, LPQB membelakangkan kerajaan dalam membuat pengiktirafan itu, selain bertentangan dengan Perlembagaan Negara.

UEC sememangnya menjadi isu yang paling sensitif dan hangat, malah sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH), masing-masing menjadikan pengiktirafan sijil itu sebagai manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Sebagaimana maklum, UEC adalah sijil sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) yang dikelolakan Jawatankuasa Kerja Sekolah-sekolah Menengah Cina (MICSS) dan wakil-wakil dari Dong Jiao Zong, yang tidak ada kaitan langsung dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia, sementara kurikulumnya pula tidak mengikut Dasar Pendidikan Negara.

Kerajaan juga menubuhkan Pasukan Petugas Dasar UEC (PPDUEC) bagi menjalankan kajian mengenai sijil berkenaan. Namun, PPDUEC itu dianggap tidak bebas kerana kelayakan salah seorang daripada tiga individu yang menganggotainya, iaitu Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China, Datuk Tan Yew Sing, dipertikai, disebabkan dia adalah Timbalan Presiden Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Pertubuhan ini adalah pengelola UEC, dan sejak sekian lama kuat mendesak kerajaan mengiktiraf UEC.

UEC atau Unified Examination Certificate, diwujudkan oleh Persatuan Guru dan Pengarah Sekolah Cina (Dong Jiao Zong) sejak 1975, dan digunakan di sekolah persendirian Cina di Malaysia, di mana silibusnya berasal dari Taiwan.

UEC tidak pernah diiktiraf untuk memasuki mana-mana institusi pengajian tinggi awam, kerana bercanggah dengan Dasar Pendidikan Negara dan Akta Pendidikan 1996. Namun, sejak Pakatan Harapan memerintah, usaha untuk mengiktiraf UEC semakin giat dilaksanakan.

Perkara kedua penting yang disebut Tun M semalam ialah berkaitan tuduhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa, ada kemungkinan polis Cawangan Khas (SB) terbabit dalam kehilangan paksa seorang paderi, Raymond Koh dan aktivis sosial, Amri Che Mat.

Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, dilaporkan hilang sejak 24 November 2016, sementara Raymond Koh dikatakan ‘diculik’ lelaki bertopeng di Kelana Jaya, Selangor, pada 13 Februari 2017.

Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Mah Weng Kwai berkata, kesimpulan bahawa kes membabitkan Raymond Koh dan Amri adalah berupa kehilangan paksa yang mungkin membabitkan ejen-ejen kerajaan seperti SB.

Suhakam membuat dakwaan itu berdasarkan inkuiri terhadap kehilangan kedua-duanya, namun suruhanjaya terbabit tidak mengemukakan bukti.

Lalu, Perdana Menteri meminta Suhakam mengemukakan bukti bagi membenarkan dakwaan mereka bahawa SB mungkin terbabit dalam kehilangan kedua-dua individu berkenaan, jika tidak ia hanyalah sekadar ‘dengar cakap sahaja’.

Bagi Pedang, apa yang disebut oleh Suhakam itu adalah satu tuduhan berat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang tidak disertakan bukti, yang boleh mengancam keselamatan negara.

Tuduhan itu boleh menjatuhkan kredibiliti dan ‘memalukan’ polis, terutama SB, yang menjadi pasukan yang diamanah untuk menjaga keselamatan rakyat Malaysia, dan menegakkan undang-undang.

Laporan itu bukan setakat berlegar di media massa Malaysia, malah sudah sampai di luar negara.

Bagi Pedang, PDRM tidak boleh berdiam diri terhadap tuduhan Suhakam. Laporan polis perlu dibuat supaya siasatan segera boleh dijalankan terhadap suruhanjaya berkenaan, kerana membuat tuduhan ‘palsu’ tanpa bukti.

Ini sebagai langkah untuk membersihkan nama baik PDRM yang tercemar akibat tuduhan bahawa ejen-ejen kerajaan, termasuk SB, terbabit dalam kehilangan paderi dan aktivis sosial berkenaan.

Kata Pedang:…atau polis sendiri pun sudah tak kisah lagi jika nama pasukan diburukkan.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net, tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close