Berita UtamaTULARUtama

Tiga video ‘belalai air Tanjong Tokong’ rosakkan 50 rumah

Ribut kuat 15 minit berlaku jam 1.35 tengah hari tadi di Pulau Pinang

 


GEORGETOWN, 25 Rejab 1440H, Isnin
– Sekurang-kurangnya 50 buah rumah di kawasan Tanjung Tokong dan Tanjung Bungah di sini rosak, dan dimasuki air selepas dibadai ‘belalai air’ serta hujan lebat tengah hari ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.35 tengah hari itu, ‘belalai air’ dari arah laut masuk ke kawasan sekitar Tanjung Tokong, menyebabkan bumbung dan atap rumah berterbangan, manakala beberapa batang pokok tumbang.

“Setakat ini tiada kemalangan jiwa atau mangsa yang cedera dalam kejadian ribut selama kira-kira 15 minit itu dan pihak kami sedang giat membersihkan serpihan struktur yang rosak akibat kejadian itu,” katanya di sini.

Gerai penjaja yang rosak akibat ribut di Tanjung Tokong dan Tanjung Bungah di Pulau Pinang, tengah hari tadi.

Sementara itu, seorang penduduk Nona Khalid, 75, berkata ketika kejadian dia sedang menunggu dua cucunya baru balik sekolah apabila angin ribut bertiup secara tiba-tiba, dan beliau dapat melihat ‘belalai air’ dari laut itu menghampiri rumahnya.

“Angin itu berbunyi kuat dan mak cik nampak sebahagian bumbung rumah turut diterbangkan angin.. memang takut sangat dan ini kali pertama berlaku sepanjang mak cik tinggal di sini sejak 50 tahun lepas,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Seorang lagi mangsa Aisyah Hashim, 64, pula berkata, kejadian itu berlaku ketika dia sedang bersiap untuk solat Zohor dan beliau terus keluar dari rumahnya kerana bimbang ditimpa bumbung atau kayu dalam rumah berkenaan.

Peniaga goreng pisang, Zaleha Mat Zain, 52, berkata dia sempat melarikan diri ke kawasan masjid dan hanya mampu melihat gerainya musnah dilanda ribut itu.

“Saya bersyukur kerana selamat dalam kejadian ini walaupun barang jualan saya seperti pisang dan ubi rosak kerana dibasahi air hujan,” katanya, sambil menambah lebih 10 buah gerai lain turut musnah dalam kejadian itu.

Seorang peniaga laksa, Azizah Azizan, 63, berkata, dia telah bersiap sedia untuk membawa laksa ke gerainya di pasar itu ketika ‘belalai air’ melanda.

“Rumah saya terletak berhampiran pasar dan saya nampak gerai saya telah rosak diterbangkan angin. Laksa yang dimasak hari ini saya akan sedekahkan kepada pihak masjid sahaja kerana tidak dapat berniaga hari ini,” katanya. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close