Berita UtamaUtama

Inkues: Saksi dimaklum anggota bomba mungkin hilang ingatan

Pegawai polis kata 12 suspek ditahan bantu siasatan kes di tapak kuil

SHAH ALAM, 25 Rejab 1440H, Isnin – Seorang pegawai penyiasat kanan memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini beliau dimaklumkan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim berkemungkinan hilang ingatan berikutan kecederaan yang dialami ketika insiden di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Pegawai Penyiasat Kanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, ASP Lew Keng Joe, berkata maklumat itu diberitahu Perunding Kanan Pakar Pembedahan Kardiotorosik Institut Jantung Negara, Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib, yang juga saksi ke-14, ketika beliau melawat Muhammad Adib pada jam 8.45 pagi, 12 Disember lalu.

“(Pada masa itu), saya nampak mangsa (Adib) sedar tapi tak boleh cakap ada hos dalam mulut,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Faten Hadni Khairuddin.

Beliau berkata, pada waktu itu, pihaknya hanya nampak badan mangsa bergerak kiri ke kanan, tetapi tidak boleh bercakap.

Saksi ke-28 itu berkata, Dr Mohamed Ezani kemudian memberitahu anggota bomba itu mungkin hilang ingatan kerana tekanan darahnya rendah.

Faten Hadni: Pada pemerhatian ASP, macam mana keadaan Muhammad Adib?

Lew : Saya nampak Muhammad Adib sedar tetapi tidak boleh bercakap kerana mulutnya ada hos. Saya kemudian minta izin Dr Mohamed Ezani untuk bertanyakan soalan kepada Adib.

Faten Hadni : Apa pertanyaan kepada Adib?

Lew : Saya tanya Adib dilanggar ke atau dipukul tetapi Adib tidak menjawab dan hanya menggerakkan badan ke kiri dan ke kanan. Saya nampak Adib beremosi dan cuba menanggalkan hos tetapi dihalang jururawat.

Saksi itu yang telah berkhidmat sebagai polis selama 14 tahun, berkata pihaknya berjumpa Muhammad Adib sebanyak tiga kali ketika menerima rawatan iaitu pada 28 November, serta 12 dan 17 Disember lalu.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di IJN pada 17 Dis lepas.

Lew juga berkata, beberapa pegawai bomba memberitahunya, agar tidak perlu dijalankan proses bedah siasat ke atas mayat anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh beberapa pegawai bomba berkenaan ketika tiba di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 10.30 malam 17 Disember lalu selepas mendapat tahu mengenai kematian Muhammad Adib.

“Saya sampai 10.30 malam di IJN. Lepas sampai hadapan ICU (IJN), saya dihampiri beberapa pegawai bomba, tak pasti siapa mereka, mereka bagitahu saya bedah siasat tidak perlu dilakukan,” katanya.

Lew memberikan keterangan bahawa pegawai bomba itu berkata demikian kepadanya sebab Perunding Kanan Pakar Pembedahan Kardiotorosik IJN, Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib boleh mengesahkan punca kematian Muhammad Adib.

Beliau kemudian berkata, pihaknya menghubungi Ketua polis Daerah Subang Jaya ACP Mohammad Azlin Sadari dan permohonan dikeluarkan agar bedah siasat itu dijalankan.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 12 suspek ditahan bagi membantu siasatan terhadap kes kecederaan yang dialami Muhammad Adib dalam insiden kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November tahun lalu.

Lew berkata, enam tangkapan pertama termasuk saksi prosiding inkues Nasaruddin Abdullah yang berada di sekitar lokasi kejadian.

Manakala, baki enam lagi adalah individu dipercayai terbabit kes pecah bangunan One City, tetapi ditahan semula bagi membantu siasatan kes Muhammad Adib.

“Seramai 12 suspek ditahan membantu siasatan kes ini di mana enam suspek pertama yang ditahan berada di sekitar tempat kejadian termasuk seorang lagi saksi bernama Nasaruddin,” katanya.

Beliau berkata, seramai 61 saksi termasuk 21 orang awam sudah memberi keterangan dalam kes berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada satu saksi pun yang melihat mangsa dipukul, ditendang atau disepak.

“Hanya lihat ada pergerakan (seperti memukul), tetapi tidak lihat sesiapa ada (yang menjadi mangsa),” katanya.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad disambung Rabu depan. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close