Amerika SyarikatBerita UtamaDuniaUtama

Boeing kemas kini perisian pesawat 737 MAX

Penambahbaikan susulan dua nahas udara dalam tempoh 5 bulan

SAN FRANCISCO, 21 Rejab 1440H, Khamis – Pengeluar kapal terbang utama Amerika Syarikat, Boeing Company mengumumkan mengenai perisian yang dikemas kini untuk menangani masalah sistem kawalan penerbangan pesawat 737 MAX, di sini, semalam.

Pesawat itu yang sebelum ini didakwa menjadi punca dua nahas udara sepanjang tempoh lima bulan, dalam laporan agensi berita Xinhua.

Boeing berkata, pihaknya sudah mengemaskinikan sistem kawalan Maneuvering Characteristics Augmentation System (MCAS), anti-pegun bagi memberikan lapisan perlindungan tambahan untuk mengelak bacaan data salah daripada sensor.

Selain itu, sistem kawalan penerbangan itu juga akan membandingkan dua input daripada sensor AOA berbanding hanya satu saja pada sebelum ini.

“Sekiranya wujud percanggahan sebanyak 5.5 darjah atau lebih dengan sirip sayap tertutup, MCAS tidak akan berfungsi,” katanya.

Seterusnya jika timbul masalah, MCAS tidak akan dibenarkan melakukan sebarang arahan penstabilan pesawat automatik, melebihi apa yang cuba diperbetulkan oleh krew penerbangan.

“Juruterbang akan mempunyai lebih banyak keupayaan untuk membatalkan arahan MCAS dan mengendalikan kapal terbang secara manual,” katanya.

Sementara itu, Boeing berkata, pihaknya juga sudah mengeluarkan program latihan komputer yang dikemas kini kepada semua juruterbang 737 MAX, bagi memberi lebih kefahaman terhadap Buletin Operasi Manual, Senarai Semak Kegagalan Luar Biasa Mengurangkan Kelajuan serta mengemaskini Buku Panduan Rujukan Pantas.

“Kemas kini perisian itu termasuk maklumat mengenai penambahbaikan MCAS yang menjadi perkara utama bagi menghalang keadaan pegun tidak terkawal, yang dikatakan mempunyai kaitan dengan nahas pesawat 610 Lion Air Indonesia yang mengorbankan 189 penumpang pada Oktober lalu,” katanya.

Boeing berkata, perisian baharu itu sudah melalui beratus-ratus jam analisis, ujian makmal, pengesahan dalam similator dan dua ujian penerbangan, termasuk ujian bersama wakil Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).

“Kini, Boeing berada dalam kedudukan tegang berikutan siasatan badan penyiasat serta kebimbangan orang awam terhadap keselamatan pesawat 737 MAX, yang terbabit dalam nahas pesawat Habsyah, Ethiopian Airlines Penerbangan 302 pada pertengahan Mac lalu yang telah mengorbankan semua 149 penumpang dan lapan krew,” katanya.

Justeru, persamaan yang wujud dalam insiden nahas Lion Air dan Ethiopian Airlines telah mendorong larangan terbang dikenakan kepada semua pesawat Boeing 737 MAX di seluruh dunia. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close