Tarbiyyah

Pemimpin makan paling akhir

1. DARI masa ke masa, saya mendisiplin diri untuk memilih satu kualiti kepimpinan yang dipelajari untuk diamalkan sehingga menjadi budaya. Dan saya harus akui, teori di atas adalah antara yang paling sukar, jika tidak yang paling sukar untuk diamalkan

2. Ini kerana Allah menciptakan manusia dengan fitrah mementingkan diri sendiri (selfish) dan tidak empati terhadap orang lain. Melawan naluri ini memerlukan mujahadah. Di sinilah terletaknya pahala dan syurga. Di sinilah jua terletaknya ciri pemimpin hebat yang didamba semua

3. Simon Sinek dalam bukunya mengulas keperluan seorang pemimpin untuk sentiasa berkorban, mengutamakan ahli pasukan yang lain serta menjaga kebajikan mereka walaupun terpaksa bersusah payah dan mengorbankan kepentingan diri sendiri. Beliau lantas mencipta tagline ‘Leaders Eat Last’

4. Hebatnya Islam, kita ditarbiah dengan sifat ‘ithar’ iaitu mengutamakan saudara yang lain melalui pelbagai firman Allah dalam kitab-Nya yang mulia, contohnya dalam Surah Al-Hasyr ayat 9 dan Surah Ali Imran ayat 92

5. Bahkan dalam Islam, mengutamakan orang lain adalah persoalan iman yang teras sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ yang bermaksud, “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga kamu mencintai saudara kamu sebagaimana kamu mencintai dirimu sendiri.”

6. Pelbagai kisah hidup Nabi ﷺ dan para sahabat membuktikan aplikasi sikap ini. Rasulullah ﷺ bukan sahaja ‘makan paling akhir’ bahkan dalam banyak keadaan tidak langsung makan dan terpaksa mengikat dua batu di perut Baginda ﷺ akibat kelaparan yang melampau. Baginda ﷺ sentiasa memberi bak angin yang lalu sehingga tiada lagi yang tersisa buat Baginda ﷺ dan ahli keluarganya

7. Dalam satu kisah yang amat mahsyur, kita juga didendangkan dengan pengorbanan tiga sahabat mulia (Al-Harith ibn Hisyam, Ikrimah ibn Abu Jahal dan Suhail ibn Amru) dalam peperangan Yarmuk yang sanggup mengutamakan sahabat yang lain (memberi air minum) walaupun mereka akhirnya mengorbankan nyawa mereka sendiri

8. Begitu juga dengan kisah Thabit ibn Qais (Ansar) yang sanggup menerima dan menjamu tetamu miskin dari kalangan Muhajirin walaupun rumahnya hanya mempunyai sepinggan makanan untuk anak-anaknya yang kelaparan (mereka akhirnya tertidur tanpa makan). Kisah ini menjadi sebab penurunan Surah Al-Hasyr ayat 9.

9. Apabila nilai ini ditinggalkan, lihatlah kepada kerosakan yang berleluasa di negara kita dan seluruh dunia. Pemimpin yang berada di tampuk kuasa bukan sahaja ‘makan yang paling awal’ bahkan membaham segala makanan tanpa meninggalkan sedikitpun untuk rakyat dan ahli yang dipimpin. Mereka mengutamakan diri sendiri, mengumpul harta kemewahan yang melampau, mengejar pangkat dan status kemuliaan, bertelingkah demi kuasa dan mengkhianati amanah yang diberikan

10. Mulakan perubahan hari ini dengan mengorak langkah pertama perjalanan kepimpinan anda. Ayuh, kita bermula dengan rutin yang mudah. Dahulukan ahli lain, beratur di belakang sekali untuk mengambil makanan. Walaupun berhadapan risiko tidak makan langsung lantaran kehabisan makanan!

Ir Hj Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad
Kluster Tarbiah Isma

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close