ArtikelBerita UtamaIstimewaUtama

Kelucahan gadis Melayu dalam ‘bridal shower’ menular, terbuka

Tak salah rai pengantin tetapi bukan mengikut cara songsang Barat

Artikel di bawah ditulis susulan tular di media sosial beberapa keping gambar wanita Melayu – sesetengahnya memakai tudung – menyambut ‘bachelorette party’ yang di dalamnya turut mempamerkan bahan lucah, selain mereka sendiri melakukan aksi lucah.

Ismaweb sendiri menerima beberapa keping gambar sambutan itu sejak semalam, yang dipercayai diadakan ketika sambutan perayaan Kristmas tahun lalu.

Bagaimanapun, tidak pasti di mana ‘bachelorette party’ itu diadakan, atau sama ada bahan lucah ‘bekas minuman berbentuk zakar’ itu dijual secara terbuka di negara ini atau tidak. – Pengarang


BUDAYA ‘bridal shower’ atau ‘bachelorette party’ adalah suatu upacara yang asing buat masyarakat Islam suatu ketika dahulu. Ia adalah suatu budaya Barat, bertujuan meraikan bakal pengantin yang akan menamatkan zaman bujang mereka.

Suatu ketika dahulu, gadis-gadis di kalangan pembesar meraikan bakal pengantin dengan sesi bersuka ria, bertukar-tukar hadiah dan makan bersama. Selepas beberapa kurun, ia menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat Barat bagi meraikan bakal pengantin.

Selari dengan budaya mereka yang mengagungkan hiburan tanpa batasan, majlis ini kebiasaannya disambut dengan pelbagai jenis permainan, tarian, pesta arak dan kadangkala disusuli acara yang melampaui batas.

Akhir-akhir ini, budaya ini mula menular di kalangan masyarakat kita yang dahulunya terkenal dengan adab sopan dan pekerti yang tinggi.

Dengan alasan meraikan pengantin serta memanfaatkan sisa akhir zaman anak dara dengan bersuka-ria, majlis ikutan Barat ini terdedah kepada perbuatan melampaui batas dengan acara bergurau senda dan bermain permainan yang mentafsirkan perkahwinan itu seolah-olah sekadar jalan pemuas hawa nafsu kebinatangan yang wujud dalam jiwa.

Hakikatnya, perkahwinan bukanlah untuk memuaskan keinginan seksual semata-mata, sebaliknya ia adalah satu penghormatan dan kemuliaan buat seorang wanita.

Dengannya, wanita mendapatkan haknya untuk dilindungi, dibimbing dan dikasihi oleh seorang lelaki. Namun, bersamanya juga ada tanggungjawab mentaati suami, memelihara maruah diri dan mendidik generasi.

Persiapan melangkah ke alam perkahwinan seharusnya menitikberatkan tekad untuk memikul tanggungjawab membina mawaddah dan rahmah di alam rumah tangga kelak.

Semakin dekat dengan tarikh perkahwinan seharusnya semakin bertambah amalan mendekatkan diri kepada Allah ﷻ. Semakin santun dan berhati-hati dalam tindakan, serta menjauhi apa jua unsur yang bakal mencalarkan maruah diri dan bakal suami.

Bekas minuman.

Lihatlah bagaimana generasi terdahulu memahami fungsi dan tujuan di sebalik sebuah perkahwinan sebagaimana saranan Islam.

Hinggakan dijadikan adat Melayu, diadakan majlis khatam al-Quran oleh pengantin sebelum perkahwinan. Ini kerana selain bagi mengharapkan perkahwinan itu diberkati, generasi terdahulu amat menekankan pendidikan al-Quran sehinggakan dijadikan syarat yang melayakkan seseorang itu berkahwin.

Ini selari dengan saranan Rasulullah  ﷺ yang meletakkan kelebihan agama sebagai keutamaan yang dicari dalam memilih calon isteri:

“Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” (HR Bukhari & Muslim)

Tidak salah meraikan pengantin, mengeratkan hubungan serta memberi semangat kepadanya, namun ia haruslah selari dengan ketetapan syariat.

Alangkah baiknya acara sebegini dilakukan bagi mengingatkan akan tujuan perkahwinan yang diredai Allah ﷻ, disulami dengan pertukaran nasihat penuh hikmah sebagai bekalan menjalani pahit manis sebenar alam rumah tangga, juga diiringi doa memohon petunjuk-Nya.

Bukan tenggelam dalam hiburan melampau ajaran Barat umpama orang mabuk dalam keseronokan khayalan nafsu yang tidak kekal lama. Ingatlah kata-kata Saidina Umar RadiyAllahuAnhu:

“Kita adalah kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam. Bilamana kita mencari izzah selain daripada Islam, maka Allah akan merendahkan kedudukan kita”.

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close