Berita Utama

Bunuh perjuangan Palestin, kerajaan didesak tarik sokong ‘Two State Solution’: ISMA

Sokong idea itu beri isyarat iktiraf pencerobohan Zionis ke atas Palestin

BANGI, 4 Syawal 1442H, Ahad – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menarik semula kenyataan yang menyokong ‘Two State Solution’, kata Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) itu berkata, langkah berkenaan penting kerana Malaysia tidak pernah mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang sah.

Beliau berkata, sokongan idea ‘Two State Solution’ itu memberi isyarat bahawa Muhyiddin mengiktiraf pencerobohan haram Zionis ke atas negara Palestin dan membenarkan pembunuhan secara besar-besaran.

Katanya, perkara itu juga memberi tanda bahawa pendirian Perdana Menteri lemah, selain membawa kepada persoalan mengenai pendirian Malaysia terhadap normalisasi Israel pada masa akan datang.

“Perdana Menteri juga seolah-olah mengambil pendirian cuba berdamai dengan semua pihak termasuk Israel, jadi segala kutukan yang dikeluarkan terhadap Israel dan bantuan kepada Palestin tidak ada maknanya dengan penerimaan idea penyelesaian dua negara.

“Bahkan, penerimaan idea ini juga bakal membunuh semangat juang rakyat Palestin yang sudah berdekad lamanya berjuang mempertahankan tanah wakaf umat Islam di (Baitulmaqdis) Al-Quds, Gaza dan Palestin.

“Sedangkan, Israel ketika ini berada dalam keadaan lemah dari pelbagai sudut kerana menghadapi serangan daripada pejuang Palestin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin dalam perutusan khas mengenai isu Palestin semalam berkata, Malaysia menyokong penyelesaian adil dan saksama melalui penyelesaian dua negara atau two state solution berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis ibu negara Palestin sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.

Beliau berkata, negara akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan melibatkan pihak-pihak berkaitan berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mengulas lanjut, Muhammad Fauzi berkata, pihaknya mendesak kerajaan Malaysia beberapa perkara termasuk meneruskan polisi untuk tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel serta menarik semula kenyataan menerima formula ‘Two State Solution.

Katanya, beliau turut menggesa kerajaan untuk mengambil langkah tegas untuk menolak hubungan normalisasi dengan Israel.

“Malah, kerajaan juga perlu memberi bantuan kemanusiaan dan pembangunan semula Palestin serta melobi negara serantau terutamanya Indonesia untuk bersama-sama menolak normalisasi Israel,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button