Berita Utama

APMM Kedah, Perlis rampas RM15.5 juta dadah serta ketum tahun lalu

Kejayaan merupakan suntikan semangat kepada para anggota APMM

LANGKAWI, 1 Rejab 1442H, Sabtu – Hasil kawalan berterusan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis berjaya menumpaskan aktiviti jenayah berat di laut melibatkan penyeludupan dadah dengan nilai rampasan kira-kira RM15.5 juta sepanjang tahun lalu.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata kejayaan yang dicatatkan itu dapat menyuntik semangat tambahan kepada anggotanya menjelang sambutan ulang tahun ke-16 APMM pada 15 Februari ini.

“Sepanjang tahun lalu, APMM Kedah dan Perlis berjaya menggagalkan beberapa cubaan sindiket menjadikan kawasan perairan di sekitar kedua-dua negeri ini sebagai laluan penyeludupan.

“Hasil operasi berterusan serta kerjasama erat dengan komuniti maritim, APMM berjaya merampas syabu seberat 61.5 kilogram bernilai RM12 juta, ganja seberat satu tan bernilai RM3 juta serta daun ketum seberat 4.8 tan bernilai RM500,000,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sekitar perairan ini hari ini.

Mengenai laporan ratusan etnik Rohingya hilang dari kem pelarian di Indonesia dan dipercayai diseludup masuk ke Malaysia, Mohd Zawawi berkata pihaknya belum menerima maklumat pelarian terbabit menuju ke perairan negara ini, khususnya di Langkawi.

“APMM akan terus memantau perkara tersebut, menerusi kerjasama agensi terlibat kita akan pastikan sempadan negara tidak dicerobohi,” katanya, menambah penugasan Op Benteng yang turut melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan lain akan memastikan perairan negara tidak dicerobohi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button