Berita UtamaUtama

Jangan pandang mudah ancaman ekstremis

IPCMC belum dimuktamad walaupun ada keputusan dibuat kerajaan

KUALA LUMPUR, 18 Rejab 1440H, Isnin – Malaysia perlu mengambil iktibar kejadian serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand baru-bru ini dengan tidak memandang mudah sebarang ancaman keganasan terutama daripada anasir-anasir ekstrem.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana serangan keganasan oleh kumpulan pengganas atau ekstremis boleh berlaku di mana-mana sahaja.

“Ia perlu disekat segera sebelum terjadi sehingga mengancam nyawa dan keselamatan negara. Bukan masalah Daesh sahaja tapi juga kesan anasir yang esktrem yang tidak mengambil kira kepentingan negara dan rakyat… mereka boleh buat apa saja untuk menimbulkan ancaman kepada keselamatan.

“Itu pengajaran, iktibar bagi kita… New Zealand dianggap negara paling selamat, tetapi berlaku juga perkara-perkara yang tidak diduga dan banyak nyawa terkorban,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pasukan ‘The Cops’ di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin hadir pada majlis sambutan Hari Polis ke-212 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diamanah untuk menyekat dan membanteras kegiatan keganasan di negara ini telah melaksanakan tugas dengan baik melalui beberapa langkah perisikan awal dan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Ada maklumat, tindakan tegas diambil supaya kumpulan seperti ini tidak dibiar begitu sahaja, pastikan pengaruh tidak merebak dan beri kesan buruk kepada negara,” katanya.

Mengulas tentang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), Muhyiddin berkata, perkara itu belum dimuktamadkan walaupun pada prinsipnya ada keputusan dibuat oleh pihak kerajaan.

“Saya berpendapat perlu ada proses ‘engagement’ dengan pihak yang berkenaan sama ada PDRM ataupun agensi penguatkuasa lain. Maklum balas yang saya terima masih ramai yang belum memahami apa tujuan dan bagaimana ia akan dilaksanakan,” katanya.

Ketika pertemuan singkat dengan pasukan bola sepak PDRM, ‘The Cops’ yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M), Muhyiddin berkata pasukan itu perlu bangkit segera dan menjadikan kejayaan Polis Bersatu yang menjadi juara liga Div 1 kejohanan Ragbi Liga Malaysia 2019 sebagai peransang untuk sama-sama cemerlang selepas ini.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merakamkan rasa terhutang budi kepada semua pegawai dan anggota polis atas segala pengorbanan dan dedikasi mereka membanteras jenayah, menjamin ketenteraman awam dan menjaga keselamatan rakyat dan negara.

Azmin dalam satu kenyataan sempena Hari Polis berkata, dalam dunia global hari ini, negara turut terdedah kepada jenayah antarabangsa seperti terrorisme, keganasan dan jenayah kewangan yang amat mencabar kecekapan, profesionalisme serta kesiapsiagaan pasukan polis dan anggota keselamatan lain.

Beliau berkata walaupun rakyat memilih dan mengamalkan prinsip demokrasi, keselamatan negara tidak boleh diremehkan.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close