Berita UtamaUtama

Bank hanya mahu kaut untung, ketepi sifat kemanusiaan: PPIM

Ramai penghutang hadapi masalah apabila rumah, kereta dilelong

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

KUALA LUMPUR, 18 Rejab 1440H, Isnin – Kerajaan, terutama Kementerian Kewangan, digesa membawa pendekatan baharu dalam institusi perbankan di negara ini, dengan turut mengutamakan nilai kemanusiaan berbanding keuntungan semata-mata.

Gesaan dibuat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) selepas mendapat banyak aduan daripada orang ramai yang menerima tekanan daripada pihak bank, selepas mereka gagal menjelaskan hutang bagi tempoh tertentu.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, dalam hal itu pihaknya mendapati institusi perbankan di Malaysia tidak mempunyai nilai kemanusiaan, berbanding negara lain.

Beliau berkata, sejak beberapa bulan lalu, PPIM menerima banyak panggilan dan aduan daripada pengguna berkaitan isu lelongan oleh pihak bank, sama ada membabitkan rumah atau kereta.

“Kebelakangan ini kita tahu keadaan ekonomi negara agak mencabar dan dalam keadaan hari ini kita tahu banyak panggilan yang berkaitan (lelongan) sama ada kereta atau rumah hingga pengguna ini berada dalam ketakutan. Jadi PPIM melihat masalah ini sebagai satu perkara yang sangat besar.

“Institusi perbankan telah hilang kemanusiaan dan tidak mahu berkompromi walaupun sebenarnya terdapat banyak jalan penyelesaian lain selain melelongkan aset pelangganya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Nadzim berkata, institusi perbankan harus mengambil pendekatan baru terhadap matlamat mereka yang mana bukan sahaja kepada keuntungan semata-mata.

“Banyak kali saya cakap kepada pihak bank, mereka kata perlu bertanggungjawab terhadap ‘shareholder’ dan ‘state holder’. Tetapi kita (pengguna) juga perlu melihat perkara ini. Kita ini pengguna dan banyak terkesan.

“Kita sudah terlalu lama dengan perbankan konvensional yang dasarnya adalah faedah. Apabila kita mengenakan riba (maknanya) kita ‘berperang’ dengan Allah dan Rasul,” tegas beliau.

Selain itu, Nadzim memaklumkan bahawa PPIM telah melancarkan kempen kemanusiaan dalam perbankan iaitu nilai yang perlu ada pada institusi perbankan.

PPIM merasakan pihak bank tidak mengutamakan kemanusiaan dan berpandukan keuntungan semata-mata, sedangkan pada waktu dunia dilanda krisis ekonomi, semua pihak terutama pelanggan bank paling teruk berasa kesannya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close