Berita Utama

PBS akan cadang 3 TPM sebagai agenda pertama MKMA63 selepas PRU15

Cadangan akan gambarkan Malaysia yang baharu

KOTA KINABALU, 28 Rabiulawal 1444H, Selasa – Parti Bersatu Sabah (PBS) akan mencadangkan pelantikan tiga Timbalan Perdana Menteri (TPM) untuk Malaysia, sebagai agenda pertama Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63), selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kata Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Sambil menyambut baik cadangan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam, Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak) mengambarkan perkara itu sebagai sesuatu yang sepatutnya telah lama dilaksanakan.

Ongkili tegaskan, PBS sebagai ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyokong penuh cadangan itu, dan menambah bahawa menjadikannya satu kenyataan merupakan selaras dengan peruntukan Perlembagaan untuk memberikan Sabah dan Sarawak status yang sama dalam Persekutuan Malaysia.

“Ia akan mengambarkan Malaysia yang baharu. Ia akan menjadi satu langkah kehadapan yang besar untuk Persekutuan Malaysia, dan saya konfiden ia akan dipersetujui sepenuhnya oleh MKMA63,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid mencadangkan tiga jawatan TPM diwujudkan bagi mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, jika BN memenangi PRU15 dengan dominan.

Beliau berkata, BN Sabah dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, supaya cadangan ini dimasukkan ke dalam manifesto BN dan GPS untuk PRU15.

Ongkili berkata perkara berkaitan pelantikan timbalan perdana menteri bagi Sabah dan Sarawak telah dibincangkan dalam MKMA63 berikutan permintaan orang ramai, khususnya rakyat Sabah dan Sarawak, agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan cadangan tersebut.

“Malah Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu sedang meneliti perkara tersebut dalam soal status sama rata untuk Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button