Berita UtamaUtama

Bank guna akta ‘bisu’ untuk perdaya peminjam

Tidak sah pinjaman bank diuruskan orang bukan Islam dengan menggunakan akad atau sistem perbankan Islam: MATE

Oleh Siti hafidah Abd Ghaffar

KUALA LUMPUR, 18 Rejab 1440H, Isnin – Pihak bank tidak akan memberi pinjaman sekiranya peminjam tidak mempunyai aset sebagai satu jaminan mahupun benteng untuk mempertahankan pinjaman yang diberi, kata Presiden Mahkamah Timbangtara (MATE), Tan Sri Profesor Dr Muslim Yaacob.

Dalam konteks ini, katanya, pelbagai helah dan terma dibuat oleh pihak bank kononnya berpandukan kepada Akta Perbankan dan Pembiayaan (Banking and Financial Act), yang mana sekarang telah dipinda keseluruhannya kepada Akta Perkhidmatan Kewangan (Financial Services Act).

Kedua-dua akta berkenaan tidak jauh fungsinya, bagaimanapun akta sekarang banyak jurang di mana jurang itu tidak memberi faedah pengguna, sebaliknya menyakinkan pihak bank bagaimana mereka boleh memanipulasikan sesuatu isu terhadap ‘peminjam yang ingkar’, katanya.

“Dalam kata lain, ‘peminjam ingkar’ ini adalah peminjam yang tidak mampu menjelaskan pinjamannya atau tidak berupaya untuk membuat pembayaran seperti ditetapkan dalam perjanjian (pihak) bank dan pengguna serta masalah yang berkaitan pengguna atau peminjam yang begitu daif.

“Sekarang ini kita banyak dengar projek-projek yang dibuat melalui pembiayaan bank. Rumah mampu milik, rumah untuk orang berpendapatan rendah di bawah garis kemiskinan dan sebagainya. Tetapi itu semuanya hanyalah istilah-istilah untuk memperdayakan orang.

“Rumah mampu milik kalau harga RM360 ribu, mampu milik apa? Pengguna berpendapatan sederhana mampu ke kita membeli rumah harga RM360 ribu ke atas. Mampu lihat sajalah, tengok gambar dan tapak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak bank banyak menggunakan jurang berkaitan pinjaman kepada pengguna disebabkan akta yang ada tidak dinyatakan secara jelas.

“Kadang-kadang akta itu ‘membisu’ tak menyebut dengan jelas dan nyata. Jadi (pihak bank) menggunakan ‘ommison of the law’ itu sebagai satu cara untuk mengenakan peminjam. Oleh itu perkara-perkara ini perlulah difahami dan jika tidak faham kita semak balik undang-undang.

“Jangan tanya peguam-peguam. Tanya peguam dia suruh bayar sahaja. Dia tak tahu sama ada perjanjian itu dibuat dengan telus ikhlas ataupun tidak. Kalau ikut perjanjian Islam, kita kena ada akad,” katanya.

Mengulas lanjut, Muslim berkata, tidak sah sesuatu pinjaman bank diuruskan orang bukan Islam dengan menggunakan akad atau sistem perbankan Islam.

“Haram hukumnya. Peminjam itu mesti berakad dengan seorang pegawai bank beragama Islam. Tetapi saya pernah jumpa banyak dokumen bank orang bukan Islam tandatangani bersama orang Islam untuk bai bithaman ajil (perjanjian jual beli balik) dan sebagainya. Ini yang berlaku,” katanya.

Beliau turut menasihati kerajaan supaya memberi tumpuan kepada satu sahaja bank yang mengamalkan prinsip perbankan Islam di negara ini.

Mengakui terkilan dengan institusi perbankan konvensional yang dikatakan mengamalkan prinsip perbankan Islam, Muslim berkata, sekiranya bank itu asalnya konvensional sudah tentu wang tidak halal berada di situ.

“Saya harap kerajaan tumpukan kepada satu bank Islam. Janganlah bank Islam yang ada satu itu terikut-ikut dengan bank-bank lain sebab kekurangan hasil,” kata beliau.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close