Berita UtamaUtama

SKMM nasihat pengguna FB, Instagram berwaspada

Kata laluan Facebook disimpan guna teks biasa terdedah salah guna

BANGI, 17 Rejab 1440H, Ahad – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima makluman bahawa kata laluan sebahagian pengguna Facebook dan Instagram kini disimpan dalam format yang boleh dibaca oleh kakitangan dalaman.

“Pihak Facebook memaklumkan ketika pemeriksaan keselamatan rutin yang dijalankan pada Januari lalu telah mengesahkan mengenai kebocoran maklumat kata laluan itu yang sepatutnya tidak boleh diakses oleh mana-mana pihak luar.

“Walaupun sistem yang digunakan pada asasnya direka bentuk untuk menyulitkan kata laluan itu, tetapi kini maklumat itu disimpan dalam format teks biasa,” kata SKMM dalam kenyataan media di Facebook, hari ini..

Sehubungan itu, SKMM turut menasihati pengguna bagi mengambil langkah berjaga-jaga, walaupun sehingga kini belum ada sebarang bukti menunjukkan kata laluan itu disalahgunakan oleh kakitangan Facebook.

“Facebook memaklumkan permasalahan ini telah diperbetulkan pihaknya dan pengguna yang terjejas akan diberitahu mengenai hal ini,” kata SKMM.

Bagaimanapun, SKMM mencadangkan orang ramai terutama, pengguna Facebook dan Instagram di Malaysia untuk menukar kata laluan media sosial terbabit.

“Proses pertukaran kata laluan boleh dilakukan secara terus melalui aplikasi atau laman rasmi Facebook dan Instagram. Ia amat penting bagi mengelakkan kemungkinan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan berkenaan perkara ini,” katanya, di sini.

Di samping itu, SKMM mahu perkara ini diuar-uarkan kepada umum secara keseluruhannya bagi mengatasi masalah isu berbangkit di kemudian apabila ada pihak yang boleh memperdaya orang ramai melalui kaedah-kaedah penipuan, penyamaran dan phishing.

Justeru, SKMM akan berhubung rapat dengan pihak Facebook bagi terus memantau perkembangan lanjut mengenai perkara ini.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close