Berita UtamaUtama

Sembilan pelajar USM Kubang Kerian cedera, pemandu maut

Van terbabit nahas di KM 26, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Kupang

GERIK, 17 Rejab 1440H, Ahad – Seorang pemandu van maut, manakala sembilan pelajar daripada Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan cedera selepas van itu terbabit kemalangan di Kilometer 26, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Kupang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, mangsa Ramli Mat Daud, 53, maut di tempat kejadian manakala tujuh pelajar cedera ringan serta dua pelajar masing-masing mengalami patah paha kanan dan cedera di bahagian belakang badan mereka.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 5 petang semalam, mereka menaiki van jenis Nissan Urban dari arah Kupang ke Gerik dalam perjalanan pulang ke Kelantan.

Ramli Mat Daud, 53, maut di tempat kejadian.

“Apabila sampai di tempat kejadian, van yang dipandu Ramli dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan masuk ke dalam longkang dan terbalik.

“Akibat kemalangan itu pemandu van itu tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Ismail berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Gerik, Shahirul Anwar Abd Azam berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 5.34 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, mereka yang cedera telah dihantar ke Hospital Gerik untuk menerima rawatan. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close