Artikel

Melakar kanvas baharu mahasiswa

Ucapan Dasar Presiden Pembina Mesyuarat Agung Tahunan Ke-12

SEGALA puji bagi Allah, selawat dan salam buat junjungan kita Nabi Muhammad, juga buat keluarga dan para sahabat baginda. Tidak dilupakan kepada para pendakwah yang membawa risalah Islam daripada bermulanya dakwah dan diteruskan kepada generasi ke generasi yang baru. Tanpa mereka, rantaian dakwah ini akan terputus dan tidak akan kita rasai nikmat Islam di dalam kehidupan seharian.

Pembina bertapak 13 tahun di Malaysia

13 tahun penubuhan Pembina di Malaysia mempamerkan perkembangannya di peringkat nasional, negeri dan kampus seluruh Malaysia. 44,827 belia telah mendaftarkan diri sebagai ahli Pembina sepanjang penubuhan Pembina. Pembina juga berada di 30 cawangan dan 89 kampus di seluruh Malaysia, 26 daripada kampus tersebut telah berdaftar secara rasmi di bawah pentadbiran kampus. Saya juga mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah kepada pimpinan dan ahli Pembina UKM di atas penubuhan persatuan secara rasmi di UKM pada bulan yang lalu.

Saya mengambil peluang yang ada ini untuk menyampaikan jutaan syabas kepada pimpinan Pembina di seluruh negara tidak kira di peringkat cawangan mahupun IPT di atas kejayaan yang telah kita kecapi hari ini. Sungguh ini adalah usaha kita bersama tanpa mengira keuntungan duniawi.

Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli Pembina yang sudah selesai tugasnya di dalam Pembina dan mula beraksi di medan lain. Saya menyaksikan mereka meluangkan masa, wang dan tenaga untuk memastikan Pembina berada pada tahap ini. Jasa anda semua sentiasa menjadi pedoman bagi kami yang berada di dalam Pembina. Bagi mereka yang masih di dalam Pembina, mari kita terus memacu arus mahasiswa.

Kita memahami bahawa amal mahasiswa sering berubah dan mempunyai cabaran yang kerap kali berubah. Kedudukan mahasiswa yang ramai ini juga strategik dalam memastikan sesuatu idea atau isu itu menjadi tular di seluruh dunia. Ditambah pula sifat amal mahasiswa yang sentiasa dinamik telah mencorakkan persatuan atau gerakan mahasiswa Malaysia sentiasa mencari rupa bentuk pendekatan yang terbaik.

Kejelasan pada agenda perjuangan dan keberanian dalam menempuh kegagalan menjadi titik tolak yang menjamin Pembina mampu menghadapi cabaran dan menerokai jalan-jalan baharu untuk kekal relevan.

Sepanjang saya berada di dalam Pembina, masyarakat luar sentiasa mengagumi kelebihan yang ada pada Pembina kerana mampu menggembleng tenaga pemuda untuk agenda bangsa dan agama. Seperti yang disifatkan oleh as-Syahid Imam Hassan al-Banna bahawa pemuda itu mempunyai ciri keimanan, keikhlasan, semangat dan usaha dalam memastikan sesuatu gagasan itu akan berjaya.

Ini juga menjadi risalah penting untuk kita hayati bahawa kenikmatan berserta tanggungjawab yang dimiliki Pembina perlu dipandu ke arah yang benar. Kita tidak mahu kelebihan pemuda ini diperah untuk agenda sesat dan dipergunakan untuk pertubuhan yang celaru sekalipun di atas nama Islam.

Kami di dalam Pembina sentiasa diajar untuk menggerakkan agenda berpandukan tafsiran Quran dan Sunnah yang betul serta mempercayai kekuatan itu bermula pada diri sendiri bukan pada orang lain. Ini membentuk cara fikir yang merdeka daripada terperangkap dengan cara fikir dan pendekatan yang diadaptasi dari Barat.

Atas didikan ini, Pembina di setiap peringkat mempunyai kefahaman yang selari seterusnya sentiasa meletakkan Pembina pada kedudukan yang tepat. Ini adalah disiplin yang paling ampuh untuk berhadapan dengan perkembangan organisasi yang pesat.

Di Manakah Peranan Kita?

Di dalam situasi sekarang, kita melihat pelbagai isu dan masalah yang berlaku kepada generasi kini. Tidak kira dari aspek apa sekalipun dan tidak kira dari peringkat apa sekalipun, saya percaya bahawa gerakan mahasiswa atau persatuan mahasiswa perlu mengambil posisi yang strategik dalam menyelesaikan masalah atau mengurangkan kesan buruk masalah tersebut. Namun, dek kerana kurang penekanan kepada peranan sebenar gerakan mahasiswa, kita menyaksikan gerakan mahasiswa seakan-akan hilang arah dalam berhadapan arus masa kini.

1. Identiti negara dan Isu kedaulatan Islam
Menerusi serangan yang berlaku kepada kedaulatan negara kita, menjadi kerisauan kepada rupa bentuk Malaysia pada masa akan datang. Cubaan untuk melemahkan kedudukan Islam di tanah air ini dilakukan dalam pelbagai bentuk dan aspek. Kesatuan umat Islam pula cuba digambarkan oleh mereka sebagai kesatuan politik bukan kesatuan untuk mempertahankan kedudukan Islam dan melayu.

Sejarah watan ini seakan-akan tidak memberikan peluang langsung kepada penceritaan kegemilangan Kesultanan Melayu Islam apabila fakta-fakta cuba diselewengkan oleh beberapa pihak dengan membawa naratif baru. Kedudukan Raja-Raja dan Melayu Islam cuba disalahertikan sebagai bersifat perkauman dan mereka cuba untuk membawa definisi kesamarataan dalam semua perkara. Nampak cantik tetapi buruk di dalam, nampak baik tetapi seribu pedang menanti.

Di mana suara gerakan mahasiswa dalam menyampaikan mesej sebenar ini kepada mahasiswa secara umum dan masyarakat Malaysia? Di mana posisi kita dalam menyebarkan kepada masyarakat ancaman yang menanti mereka? Dalam keadaan lebih separuh mahasiswa yang tidak sedar apa yang berlaku kepada bangsa dan negaranya, di mana kita dalam mengejutkan mereka dari kelalaian?

Ditambah lagi dengan masyarakat yang bingung kepada situasi kepimpinan negara yang kucar kacir, di mana kita dalam menjelaskan kepada mereka? Segala kebolehan yang kita miliki dalam menularkan sesuatu perkara melalui video, infografik, poster dan lain-lain digunakan untuk apa? Situasi ini menunjukkan gerakan mahasiswa kini gagal dalam menyampaikan mesej sebenar kepada masyarakat.

Kita harus kukuh menyatakan pendirian kepada tindakan yang cuba menganggu-gugat kedudukan Melayu Islam dan cubaan untuk memecahbelahkan kesatuan masyarakat di negara ini. Kita juga harus sentiasa memberikan fokus sebenar kepada masalah utama bukan terikut-ikut dengan arus informasi yang tular. Kita seharusnya tidak mudah terpedaya dengan agenda politik kepartian yang cuba dimainkan di negara ini, tetapi kita membawa nafas politik baru yang memberi keuntungan kepada bangsa, negara dan agama kita.

Masyarakat tidak mampu untuk mempercayai gerakan mahasiswa dalam menyuarakan pendapat mahasiswa selagi mana kita tidak mampu untuk menunjukkan sifat sebenar mahasiswa. Ini menjadi cabaran kepada gerakan mahasiswa untuk mempertahankan Perlembagaan, mempromosi kesatuan dan mengarusperdanakan isu sebenar.

Di dalam situasi sekarang, kita melihat pelbagai isu dan masalah yang berlaku kepada generasi kini. Tidak kira dari aspek apa sekalipun dan tidak kira dari peringkat apa sekalipun, saya percaya bahawa gerakan mahasiswa atau persatuan mahasiswa perlu mengambil posisi yang strategik dalam menyelesaikan masalah atau mengurangkan kesan buruk masalah tersebut. Namun dek kerana kurang penekanan kepada peranan sebenar gerakan mahasiswa, kita menyaksikan gerakan mahasiswa seakan-akan hilang arah dalam berhadapan arus masa kini.

2. PTPTN
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Terkini, hutang sebanyak RM2.7 bilion masih belum terbayar. Jumlah yang besar ini menyebabkan isu PTPTN sangat dititikberatkan oleh pelbagai pihak. Menurut Dr Muhammad Abdul Khalid, kemasukan bangsa Melayu ke peringkat pengajian tinggi jauh lebih rendah berbanding bangsa-bangsa lain. Faktor utama adalah kerana faktor kewangan.

Kewujudan sektor pendidikan swasta tidak membantu meningkatkan kemasukan bangsa Melayu ke pengajian tinggi kerana kos yuran yang jauh lebih mahal berbanding sektor pendidikan awam. Di sebalik konflik ini , bantuan PTPTN sangat berguna untuk golongan middle class ke pengajian tinggi.

Namun begitu, apakah peranan yang telah kita mainkan sebagai sebuah gerakan mahasiswa dalam menghadapi isu ini? Kita mungkin telah mendidik mahasiswa untuk menuntut supaya tidak perlu membayar kembali pinjaman PTPTN tanpa mekanisme yang lebih baik. Tindakan ini akan menyebabkan modal PTPTN akan berkurang dan peminjam dari kalangan bangsa Melayu juga akan berkurang.

Ini seterusnya mengurangkan lagi jumlah kemasukan bangsa Melayu ke peringkat pengajian tinggi. Kesannya adalah taraf ekonomi bangsa Melayu akan berkurang dan meningkatkan ketidaksamaan pendapatan di antara bangsa di Malaysia. Bukankah ini menambah buruk lagi kepada pembangunan negara?

Pengerusi PTPTN juga menyatakan bahawa tindakan untuk tidak membayar pinjaman PTPTN akan memberi kesan kepada bakal peminjam. Namun begitu kesilapan kita adalah kerana mempolitikkan isu PTPTN ini. Sekiranya kenyataan ini disebut sebelum bertukar kerajaan, mungkin ramai boleh menerima kenyataan ini. Lebih malang apabila gerakan mahasiswa mengambil isu PTPTN sebagai modal untuk bersuara menghentam pemerintahan.

Saya tidak ingin menyentuh isu manifesto dan janji kerajaan, tetapi saya ingin menyentuh apakah peranan yang telah gerakan mahasiswa laksanakan untuk berhadapan isu ini? Seharusnya gerakan mahasiswa membawa isu ini kepada perbincangan yang lebih akademik dan mendidik mahasiswa secara umum untuk tidak terpedaya dengan janji-janji yang tidak relevan untuk dilaksanakan.

3. Cabaran graduan kini
Bagaimana pula isu-isu yang berlaku kepada graduan yang saban hari semakin susah untuk diselesaikan iaitu masalah harga rumah dan peluang kerja. Peningkatan harga rumah tidak selari dengan peningkatan gaji minimum seorang graduan menjadikan banyak rumah tidak dapat dimiliki. Rumah yang mampu milik pula tidak menyediakan keadaan yang selesa untuk perkembangan ahli keluarga.

Harga sewa rumah pula meningkat saban tahun yang menambahkan keperitan seorang graduan terutamanya di kawasan bandar. Kesan yang lebih jauh mereka memilih untuk duduk di luar bandar dan bekerja di bandar. Setiap hari menghabiskan masa di atas jalan raya sekurang-kurangnya dua jam untuk ulang alik ke tempat kerja. Ruang masa untuk keluarga berkurang dan meningkatkan level of stress dan depression.

Anak-anak pula akan kurang kasih sayang yang seterusnya membawa kepada rosaknya struktur sosial. Level of productivity juga akan rendah dan menurut kajian dari program anjuran UNICEF, angka kerugian dari level of productivity yang rendah adalah RM10 bilion hingga RM20 bilion setahun. Ini bukan sahaja masalah yang dihadapi oleh negara kita, tetapi hampir kepada semua negara membangun dan negara maju.

Selain itu, lebih kurang 130,000 graduan akan lahir setiap tahun di Malaysia. Daripada angka tersebut, sebanyak 20.9% (2017) iaitu seramai 53,373 graduan dilaporkan tidak mempunyai kerja. Data ini dimiliki selepas ditolak dari jumlah graduan yang melanjutkan pengajian dan meningkatkan kemahiran. Selain faktor peluang pekerjaan, kita boleh memperincikan punca-punca masalah kurang kebolehpasaran dalam kalangan graduan.

Lepasan sekolah dan mahasiswa tidak didedahkan dengan lebih baik apakah key area kerajaan yang membantu bukan sahaja pihak swasta tetapi bakal mahasiswa dan graduan untuk memilih kerjaya dan bidang yang sesuai dengan fokus kerajaan. Sebagai contoh sewaktu Perdana Menteri yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyatakan fokus kerajaan dalam bidang pertanian dan biotech telah mendorong kemasukan ke dalam bidang ini dan membuka peluang pekerjaan yang banyak.

Sebagai tambahan, graduan yang berada di Malaysia masing-masing berumur dalam lingkungan 23 hingga 28 tahun. Satu fasa umur yang menghadapi cabaran untuk bekerja, mencari hala tuju, kestabilan hidup, berkahwin dan sebagainya. Fasa ini lebih dikenali sebagai Quarter Life Crisis. Cabaran yang dihadapi dalam fasa ini sangat berbahaya dan akan menggambarkan kehidupan mereka pada 10 atau 20 tahun akan datang.

Persoalan yang cuba saya lontarkan adalah di mana gerakan mahasiswa dalam isu ini? Kita inginkan mahasiswa mensejahterakan masyarakat tetapi kestabilan mereka tidak dititikberatkan. Sedangkan kestabilan golongan mahasiswa dan graduan bukan sahaja membantu kehidupan mereka tetapi membantu perkembangan ekonomi dan kestabilan sosial masyarakat.

Di kampus pula, kita tidak mendedahkan mereka kepada cabaran sebenar alam pekerjaan yang jauh lebih berbeza. Apa yang telah kita persiapkan kepada mahasiswa untuk menjadi graduan yang stabil dan berjaya? Mungkin terlalu besar untuk ditanggung oleh gerakan-gerakan mahasiswa di Malaysia, tetapi ini adalah isu generasi kita dan kita bertanggungjawab untuk mengarusperdanakan isu ini. Mungkin masalah ini akan diselesaikan oleh generasi kini pada masa hadapan, pendedahan awal kepada kita tentang isu ini akan membantu memberikan gambaran sebenar.

4. Mahasiswa dan Ilmu

Keupayaan mahasiswa dalam menuntut ilmu di kampus adalah peluang yang tidak dimiliki ramai pihak. Namun, keupayaan menuntut ilmu ini menghasilkan jurang keilmuan yang besar antara universiti dan masyarakat. Aktiviti mahasiswa kurang memberikan gambaran bahawa mereka adalah ejen budaya keilmuan. Apa yang dipamerkan oleh mahasiswa adalah tidak kelihatan fungsinya selepas masuk ke alam universiti. Mahasiswa lebih dikenali dengan aktiviti politik kampus dan dikenali dengan tindakan merendahkan martabat ilmu sewaktu majlis graduasi.

Ilmu yang dimiliki oleh mahasiswa seakan-akan eksklusif dan sukar untuk diakses oleh masyarakat luar. Sewaktu masyarakat menunggu cahaya pelita yang menerangi perjalanan kehidupan mereka, gerakan mahasiswa lebih memilih untuk menggambarkan imej perjuangan politik. Masyarakat tidak dapat mencapai maksud sebenar sesuatu polisi atau pendekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan ataupun mereka tidak mengerti kesilapan yang dilaksanakan sesetengah pemimpin.

Menjadi satu cabaran kepada gerakan mahasiswa untuk benar-benar menghidupkan budaya ilmu dalam kalangan mahasiswa. Keupayaan mahasiswa dalam menuntut ilmu perlu dikongsi dan dialirkan kepada masyarakat kerana hakikatnya kewujudan universiti untuk menambahbaik kehidupan masyarakat.

Peranan Pembina

Memahami tugas sebagai seorang manusia di atas muka bumi iaitu hamba dan juga khalifah, Pembina bertapak di Malaysia bertujuan bukan sekadar untuk kesenangan duniawi tetapi juga untuk ketenangan ukhrawi. Setiap tindakan, cadangan dan inisiatif Pembina tidak lain dan tidak bukan akhirnya untuk membawa mahasiswa secara khususnya untuk menyedari makna hidup dan berusaha ke arah kebaikan dunia dan akhirat.

Ini adalah sudut pandang yang ditanamkan dalam ahli Pembina di seluruh Malaysia dan di atas kefahaman ini juga menjadi titik tolak dalam merangka perancangan Pembina.

Kita menyedari bahawa setiap pemegang taruh memainkan peranan yang tersendiri dalam pembentukan generasi. Sebagai manusia yang berilmu dan berkebolehan dalam menghadam isu semasa, mahasiswa perlu mempunyai mentaliti bahawa mereka adalah ejen dalam mendidik masyarakat. Hal ini bermaksud ilmu yang diberikan kepada masyarakat bukan sahaja dalam konteks ilmu kebendaan semata-mata seperti sains, matematik atau ekonomi tetapi juga ilmu berkenaan pendidikan rohani seperti kesedaran berkenaan hakikat kehidupan atau perjalanan sirah Nabawiyyah.

Kita ingin membawa mereka keluar dari kemiskinan dan membawa mereka untuk mengikut syariat Allah. Kita juga menyeru masyarakat untuk menyedari realiti yang berlaku berdasarkan timbangan ilmu-ilmu yang disebutkan tadi. Walaupun kita tidak mampu melaksanakannya ketika fasa menjadi mahasiswa, bukanlah bermaksud kita menghilangkan idea tersebut dari ingatan. Idea tersebut perlu terus ditanamkan pada mahasiswa agar graduan-graduan yang lahir setiap tahun mempunyai idea tersebut dan berusaha untuk menyebarkan kepada seluruh pelosok negeri.

Oleh yang demikian, Pembina berperanan untuk menyatukan usaha daripada pelbagai pihak untuk mencapai objektif tersebut. Pembina boleh bekerjasama dengan pihak pentadbiran universiti, agensi kementerian, persatuan mahasiswa, pensyarah dan sebagainya selagi mana tidak mencairkan prinsip sebagai gerakan mahasiswa Islam. Kita perlu menggarap seramai mungkin mahasiswa yang ada untuk bersama kita di atas usaha yang mulia ini.

Visi 2030 di dalam sanubari

Visi 2030 Pembina yang telah digariskan sebelum ini lagi iaitu melahirkan kepimpinan belia yang syumul bagi negara menerusi penglibatan amal mahasiswa menjelang tahun 2030 sentiasa menjadi ukuran dalam menilai segala hasil dan gerak kerja Pembina. Visi ini memberi maksud bahawa Pembina ingin melahirkan mahasiswa dan graduan yang memimpin pemikiran dan tindakan masyarakat.

Kita menjangkakan pimpinan negara akan hadir daripada kalangan mahasiswa kini. Bukan menafikan kebolehan orang lain, tetapi mengharapkan kepimpinan hadir dari mahasiswa adalah perkara yang lebih relevan kerana mahasiswa terdedah kepada pembentukan kepimpinan yang lebih baik di kampus.

Hal ini juga bukan bermaksud kita inginkan mahasiswa dan graduan semuanya terlibat di dalam politik dan menjadi menteri tetapi lebih kepada menjadi ejen yang memandu pemikiran dan tindakan masyarakat tidak kira di peringkat apa sekalipun. Boleh berlaku di peringkat kampung, tempat kerja, rukun tetangga dan sebagainya.

Masyarakat perlu dipandu pemikiran dan tindakan mereka berlandaskan kefahaman Islam yang syumul dan keluhuran Perlembagaan yang menjadi penyatuan rakyat dari pelbagai latar belakang. Kita inginkan ahli Pembina menyampaikan aspirasi ini kepada semua mahasiswa di Malaysia. Kita inginkan agar anak watan ini terbentuk dengan semangat untuk memimpin masyarakat tidak kira dengan cara apa sekalipun.

Visi 2030 ditanam di dalam sanubari setiap pimpinan Pembina dalam menghasilkan inisiatif dan strategi ke arah visi tersebut. Apa yang akan dan sedang dilakukan oleh barisan Jawatankuasa Pusat Pembina adalah berlandaskan Visi 2030 ini. Hal ini bermaksud segala inisiatif dan strategi bukanlah mazhab baru tetapi kaedah yang lebih tepat untuk mencapai Visi 2030.

Gagasan Kanvas Mahasiswa 2030 (KM30)

Tahun 2019, Pembina dengan penuh iktikad akan mempersembahkan satu konsep baru gerakan mahasiswa. Satu model gerakan mahasiswa Islam yang keluar dari kerangka model biasa yang dirujuk selama ini oleh pelbagai gerakan mahasiswa sedunia. Pembina berhasrat untuk mempamerkan model ini agar dicontohi oleh gerakan mahasiswa dalam dan luar negara. Ini tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan aspirasi mahasiswa dan universiti diimani oleh masyarakat. Lima gagasan digariskan untuk fasa sekarang.

Pertama, melahirkan mahasiswa yang memiliki jati diri sebagai rakyat Malaysia. Apakah rupa bentuk mahasiswa yang kita ingin lahirkan? Apakah perkara yang perlu ditanam kepada mereka? Pendekatan apa yang perlu dilaksanakan oleh mereka? Untuk menjawab soalan tersebut, Pembina akan menggariskan apakah ciri-ciri mahasiswa yang kita inginkan dalam menggalas fungsinya untuk memimpin pemikiran dan tindakan masyarakat. Di dalam setiap ciriciri tersebut, Pembina akan menyediakan modus operandi untuk mencapai setiap satu sasaran.

Kedua, memaknai aktivisme mahasiswa dengan sifat kesukarelawanan. Saya percaya generasi muda mempunyai ledakan aktivisme yang sangat tinggi. Ledakan aktivisme tersebut perlu dipandu agar tidak dimuntahkan untuk permainan politik kepartian yang sempit. Pembina mengharapkan agar aktivisme mahasiswa mampu memberi makna kepada masyarakat dan bukan sekadar aktivisme untuk menonjolkan keangkuhan masing-masing.

Aktiviti sukarelawan dalam Pembina adalah untuk menyediakan ruang tengah di antara kelesuan dan ekstrimis aktivisme kepada mahasiswa. Seterusnya untuk memastikan aktiviti mahasiswa tidak hanya berorientasikan keperluan mahasiswa, tetapi untuk memberi peluang kepada mahasiswa mensejahterakan masyarakat, pemberi solusi kepada rakyat.

Aktiviti sukarelawan Pembina akan ditekankan kepada permasalahan yang kurang disentuh oleh NGO atau persatuan lain. Pembina ingin terlibat dalam segmen-segmen yang belum diarus perdanakan oleh mana-mana pihak. Pembina bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai niat yang sama seperti kami.

Ketiga, memberikan nafas baru kepada intelektualisme mahasiswa. Menyedari bahawa mahasiswa adalah golongan yang paling tepat untuk dididik dengan perbincangan yang berat dan mencabar, Pembina mengambil pendekatan untuk memberi penekanan kepada intelektual mahasiswa. Ini bertujuan agar mahasiswa mampu memahami dunia dengan lebih baik dan seterusnya mendidik masyarakat serta mampu memberi solusi.

Kaedah ini boleh dilaksanakan melalui pendedahan kepada isu semasa dan permasalahan dunia. Namun apa yang disaksikan kini, mahasiswa lebih cenderung untuk membincangkan permasalahan dalam topik ideologi sahaja. Walau tidak menafikan kepentingan topik tersebut tetapi kita tidak mahu perbincangan yang tidak produktif dan melalaikan. Keupayaan membina intelek mahasiswa perlu dipandu, bukan bebas merawang di dalam kerangka sesat.

Pembina akan memberikan nafas baru kepada intelektual mahasiswa kepada satu bentuk perbincangan yang lebih luas dan mendasar agar mahasiswa lebih memahami latar belakang sesuatu permasalahan dan tidak mudah melatah. Ini juga termasuk perbincangan berkenaan isu yang berkait rapat dengan mahasiswa seperti diskriminasi kaum di dalam pengambilan kerja.

Keempat, memperjuangkan survival mahasiswa di kampus. Dalam masa kita inginkan mahasiswa memenuhi peranannya, hak asasi mahasiswa itu sendiri perlu ditunaikan. Pembina akan menggariskan Indeks Mahasiswa Malaysia untuk memberikan definisi apakah perkara minimum yang perlu ada oleh setiap mahasiswa.

Mana-mana kekurangan yang dimiliki oleh majoriti mahasiswa di sesuatu kampus perlu dibantu dengan cara memberikan bantuan atau menyalurkan kepada pihak yang sepatutnya. Ini termasuk berkenaan survival mahasiswa dalam mendepani tekanan ekonomi masa kini. Mereka perlu dididik dengan pengurusan kewangan yang baik agar tidak jatuh ke lembah hutang yang besar di usia yang muda.

Kelima, meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa. Di atas penelitian semasa, graduan kita di negara mempunyai masalah untuk direkrut oleh mana-mana syarikat swasta atau badanbadan kerajaan. Pembina mengambil peranan untuk menyediakan modul yang mampu meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa berdasarkan keperluan terkini industri. Pembina juga membuka peluang dan mengharapkan mana-mana pihak yang sudi untuk memberikan inputinput yang sesuai bersama membantu meningkatkan Graduate Employability graduan kita di Malaysia. Generasi kita, tanggungjawab kita.

Lima gagasan yang saya sebutkan tadi bukanlah model yang sudah cukup sempurna. Tetapi hanya satu titik permulaan untuk kita keluar dari kepompong model gerakan mahasiswa yang dipengaruhi kuat fahaman sosialis kepada pembinaan gerakan mahasiswa Islam yang komprehensif. Di atas kefahaman kepada peranan mahasiswa dan universiti serta maksud sebenar sebagai seorang manusia, Pembina beriktikad untuk mula melakar kanvas baharu mahasiswa.

Kelima-lima gagasan ini akan dibentangkan dan dipersembahkan lebih terperinci sewaktu Himpunan Mahasiswa (HIMMAH) keempat anjuran Pembina pada 26 hingga 27 April 2019. Kita menjangkakan 1000 ahli Pembina akan hadir ke HIMMAH ini dan mengambil aspirasi program tersebut untuk disampaikan kepada mahasiswa di kampus masing-masing. Ambillah peluang untuk mendaftarkan diri ke HIMMAH tahun ini menerusi agen pendaftaran HIMMAH di cawangan masing-masing.

Cabaran Kita

Saya percaya bahawa semua kejayaan di atas muka bumi ini mempunyai cabaran. Sekiranya cabaran itu mudah, sudah pasti ramai yang sudah berjaya. Cabaran ini memerlukan pengorbanan dan kekuatan untuk berhadapan dengannya. Setiap generasi ada cabarannya, setiap fasa ada dugaannya dan setiap idea ada halangannya.

Cabaran yang perlu kita laksanakan adalah dengan membina kekuatan sendiri dalam organisasi. Kita berhadapan dengan pelbagai ancaman dan isu di kampus mahupun luar kampus yang memberi kesan terus kepada pembentukan jati diri dan pembangunan belia. Kita tidak boleh sentiasa berharap akan ada insan lain yang akan membantu menyelesaikan atau memberi komentar kepada masalah-masalah tersebut.

Adalah perlu untuk kita sendiri mengambil inisiatif untuk memberi komentar dan menyelesaikannya sendiri. Kita perlu membina kemahiran, kefahaman dan keberanian dalam berhadapan isu-isu yang berlaku. Kelompongan di dalam kepimpinan mahasiswa perlu diisi oleh mereka yang berfahaman Islam yang tulen, mempertahankan identiti negara dan menyemai kesatuan. Pembina perlu mengambil ini sebagai cabaran untuk membina kekuatan dalam pergerakan agar mampu mengumpulkan seramai mungkin mahasiswa ke arah agenda sebenar bangsa, negara dan agama.

Pembina dari dahulu sehingga kini tidak bermula dengan kekayaan dan kemegahan tetapi kita bermula dengan cabaran untuk berani mengorak langkah baru dan mengurus kekurangan. Kita tidak menjanjikan kemasyhuran, jawatan dan duit kepada ahli, namun kita menjanjikan platform agar mampu menggembleng mahasiswa untuk watan ini.

Agenda ini memerlukan mahasiswa yang kuat, berani, semangat dan ikhlas dalam menggalas tanggungjawab. Kita berhadapan dengan cabaran yang rumit dalam menguruskan kekurangan tenaga, wang dan sumber yang lain, tetapi dengan agenda yang jelas ini, seharusnya kita mampu untuk memandu Pembina dengan mengurus kekurangan yang ada.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menyeru agar kita mengubah mentaliti kita. Daripada mempunyai mentaliti untuk mengejar KPI kepada mentaliti untuk mencapai objektif. Daripada mempunyai mentaliti untuk menjaga periuk nasi sendiri sahaja kepada mentaliti untuk menjaga mahasiswa di kampus. Ini merubah struktur pemikiran kita untuk lebih cakna pada isu semasa di kampus mahupun di peringkat nasional.

Sekiranya ada mahasiswa yang kekurangan, kita perlu memberikan bantuan. Sekiranya ada mahasiswa yang hilang pegangan, kita perlu membimbing. Cabaran kini adalah untuk kita mencari titik seimbang antara kemahuan mahasiswa dan tuntutan kepada mereka.

Kita menyaksikan gerakan mahasiswa di seluruh dunia lebih mengimani gerakan yang memeluk fahaman sosialis atau “political inclination” yang seterusnya melahirkan tindakan yang radikal. Kelemahan mengimani fahaman ini antara lain adalah menjauhkan mahasiswa dari perjuangan mereka yang sebenar.

Jumlah mahasiswa muslim yang ramai di seluruh negara tidak dapat digembleng untuk agenda Islam mahupun untuk negara Malaysia. Gerakan mahasiswa akan dilihat asing oleh mahasiswa sendiri atas tindakan-tindakan yang telah mereka laksanakan.

Kelemahan ini perlu Pembina rawati dengan menawarkan segenap kaedah yang mampu menghimpunkan seramai mungkin mahasiswa bersama dalam perjuangan memartabatkan agenda Islam di negara ini. Cabaran kita adalah mengeluarkan mahasiswa dari terbelenggu dengan kehidupan fantasi di alam maya dan membawa mereka kepada kehidupan manusiawi di alam realiti.

Demi memastikan lakaran kanvas baharu mahasiswa ini berjaya, kita perlu memperbanyakkan usaha membaca sumber-sumber berkenaan gerakan mahasiswa seluruh dunia. Pertemuan bersama pimpinan dari negara lain juga membantu mencambahkan idea untuk melengkapkan kanvas ini. Membahaskan segala bentuk pendekatan adalah sangat perlu untuk memastikan pendekatan kita tidak lari dari zaman kini.

Seperti yang disebutkan sebelum ini, gerakan mahasiswa Islam seluruh dunia seakan-akan terperangkap dengan aktiviti-aktiviti gerakan mahasiswa yang dilaksanakan oleh generasi terdahulu. Sedangkan pada waktu ini, kita berhadapan dengan cabaran yang berbeza dengan situasi yang turut berbeza.

Pembina bercitacita untuk menjadi gerakan mahasiswa yang menjalankan peranan sebenar sebagai mahasiswa, memberi makna kepada kewujudan universiti dan menanamkan fungsi sebenar seorang Muslim mengikut acuan Islam. Daripada cita-cita ini, kita inginkan gerakan mahasiswa seluruh dunia berkebolehan untuk mencontohi Pembina demi membangunkan semula peradaban Islam di dunia.

Terakhir, cabaran kepada kita adalah memastikan perancangan ini membuahkan hasil. Kita perlu keluar dari keasyikan kata-kata dan teori kepada tindakan. Masyarakat tidak menilai apa idea kita atau sejauh mana kita hebat dalam berfalsafah tetapi mereka melihat apa hasil yang telah berjaya kita laksanakan.

Hasil ini membuktikan segala-galanya kepada apa yang kita rancangkan. 100 idea tidak berguna kalau tidak dilaksanakan, tetapi memberi makna kepada idea tersebut bila berjaya dilaksanakan. Orang lain boleh meniru idea kita, tetapi yang berjaya adalah mereka yang teguh dalam melaksanakan. Sungguh fasa perlaksanaan jauh lebih susah dari fasa merancang. Sudah sampai masanya untuk kita keluar dari retorik teori yang berpanjangan dan mula melangkah dengan serius membina kejayaan. Kita perlu bertindak dan membuahkan hasil!

Tindakan Kita

Saya cuba rumuskan untuk ahli Pembina, tindakan yang perlu dilaksanakan untuk mencapai kepada agenda yang telah saya gariskan tadi. Ini sebagai langkah untuk kita membina keberhasilan kepada sesuatu perancangan dan merubah tingkah laku.

1. Menjaga skru-skru tarbiyah
Ahli Pembina perlu sentiasa menjaga skru-skru yang ada di dalam organisasi ini. Skru-skru yang saya maksudkan adalah elemen-elemen tarbiyah seperti usrah, pengisian rohani, latihan fizikal dan program pembangunan ahli yang lain. Sesungguhnya Pembina bermula dengan tarbiyah dan akan terus berkembang dengan tarbiyah. Melonggarkan pada mana-mana elemen tarbiyah akan merosakkan organisasi. Ini termasuk menjaga perbatasan perhubungan di antara ahli lelaki dan perempuan. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan hanya akan melahirkan susuk tubuh lelaki yang pondan.

2. Melahirkan susuk tubuh LGBT
Menerusi persetujuan antara Sayap Pemuda Isma dan Pembina, kita bersetuju untuk melahirkan susuk tubuh lelaki yang Lasak, Gagah, Berani dan Terampil (LGBT). Kita akan memberi fokus kepada melahirkan susuk tubuh lelaki di dalam Pembina yang mempunyai sifat-sifat yang dinyatakan tadi. Umat yang tercalar maruahnya pada hari ini lebih memerlukan lelaki yang mempunyai sifat-sifat ini.

Ahli Pembina lelaki perlu berani untuk memimpin dan menanggung risiko. Kita perlu bijak dalam memimpin dan sentiasa berkebolehan untuk memberikan hala tuju kepada Pembina di setiap peringkat. Sifat-sifat ini perlu ditanam agar mahasiswa mampu mempercayai kita untuk memimpin.

3. Tabiat berorganisasi
Ahli Pembina yang bersama dalam mengerakkan Pembina perlu mempunyai tabiat organisasi yang cemerlang. Lapan tabiat yang perlu ditekankan perlaksanaannya di setiap peringkat Pembina ialah:

i. Berlaku adil di antara akademik dan aktivisme;

ii. Berperilaku jujur dalam berhadapan dengan tanggungjawab dan konflik;

iii. Berlapang dada dalam keputusan;

iv. Menepati masa;

v. Merancang secara strategik;

vi. Berfikir secara luar biasa bukan mengikut arus normalisasi;

vii. Ukhuwah sebagai penguat organisasi bukan teras kegemilangan; dan

viii. Bertindak sebagai seorang pemimpin bukan sekadar pengikut.

4. Meningkatkan pembacaan dan kebolehan mengartikulasi
Berhadapan dengan pelbagai isu dan konflik di dunia, ahli Pembina perlu memperbanyakkan usaha membaca bahan-bahan yang sepatutnya, isu semasa dan berbincang dengan mereka yang mahir untuk meningkatkan kebolehan mengartikulasi isu dan permasalahan. Jangan kita pula yang mengikut arus tular di media sosial tanpa usul periksa.

5. Membina ketokohan
Di ruangan vakum di kampus, Pembina perlu melahirkan tokoh-tokoh seramai mungkin untuk mingisi kekosongan kepimpinan untuk menyampaikan mesej kepada mahasiswa dan membina sudut pandang yang tepat kepada sesuatu perkara. Ketokohan tidak hanya pada kedudukan dan jawatan tetapi kepada pengaruh positif yang luas dalam kalangan mahasiswa.

6. Menyampaikan mesej ini kepada masyarakat kampus
Gagasan Pembina iaitu Kanvas Mahasiswa 2030 (KM2030) perlu diuar-uarkan kepada masyarakat kampus. Mesej ini perlu didukung oleh ahli Pembina khususnya dan mahasiswa secara umum. Garaplah seramai mungkin mahasiswa untuk bersama dalam perjuangan ini.

7. Bertindak bukan berangan
Akhir sekali, kita perlu menggerakkan Pembina untuk sentiasa mengambil tindakan dalam setiap kelompongan dan perancangan yang telah digariskan. Kita perlu berani menanggung risiko untuk gagal kerana setiap kegagalan itu mengajar erti kehidupan yang tidak dapat dimiliki tanpa kita merasai dan melaluinya.

Penutup

Indegiri pasirnya lumat,
Kerang bercampur dengan lokan,
Rasulullah nabi kasihkan umat,
Begitulah saya kasihkan watan

Adalah besar harapan umat ini kepada negara Malaysia agar mampu membangun menjadi negara Islam yang disegani dan dihormati. Adalah besar juga harapan negara ini kepada generasi penerus legasi nusa dan bangsa iaitu golongan belia hari ini. Harapan ini hanya menjadi halwa telinga bagi mereka yang larut dalam permainan maya tetapi akan menjadi penanda aras untuk dicapai bagi mereka yang sedar daripada lamunan tidur.

Hari ini, Pembina berada pada situasi untuk membina satu model baharu gerakan mahasiswa yang lebih tepat, menepati kehendak semasa dan mampu membimbing ke arah pembentukan negara yang lebih baik. Kita menyedari segala kelemahan dan cabaran yang dihadapi, tetapi bukan bermaksud kita akan berundur daripada membina kegemilangan Islam di atas muka bumi.

Kegemilangan tidak terbina dalam sehari namun terbina dengan masa yang lama. Masa itu disulami dengan kesabaran dan bantuan dari Allah swt. Sekiranya tidak kita yang mengambil peluang ini, siapa lagi? Sekiranya tidak bermula pada hari ini, bila lagi?

Kepada hadirin dan hadirat sekalian, ini adalah seruan dan iktikad kami di dalam membantu perjuangan agama Islam di negara ini. Sekiranya kita sehaluan, mari bersama. Sekirannya kita berbeza, mari kita berlapang dada.

2019, ayuh bersama Pembina, kita melakar kanvas baharu mahasiswa!

Muhammad Azam bin Asri,
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close