Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

Presiden AS mahu isytihar Bukit Golan wilayah kedaulatan Zionis

Kependudukan Israel tidak pernah dapat pengiktirafan antarabangsa

WASHINGTON, 15 Rejab 1440H, Jumaat – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini berkata, telah tiba masanya untuk mengiktiraf Bukit Golan yang ditawan daripada Syria pada 1967, sebagai wilayah kedaulatan Israel.

Dalam laman Twitternya, Trump mengisytiharkan dataran tinggi bersempadan dengan Lubnan dan Jordan itu adalah ‘penting dari segi strategik kepada Israel demi kestabilan serantau’.

Israel menduduki dan mengambil sepenuhnya Bukit Golan pada tahun 1981, dalam langkah yang tidak diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, tiada kenyataan daripada Syria yang telah berusaha mendapatkan kembali kedaulatan ke atas kawasan itu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengucapkan terima kasih kepada Trump atas kenyataan itu. Pengumuman Trump dibuat ketika Netanyahu berdepan dengan pilihan raya umum Israel bulan depan, selain beberapa tuduhan rasuah.

Bagaimanapun, kenyataan Trump itu dijangka bakal menyebabkan rantau berkenaan bergolak kembali, disebabkan Syria yang mendapat sokongan Iran dan Russia membantah pengiktirafan berkenaan.

Bukit Golan adalah dataran tinggi meliputi 1,200 kilometer persegi, terletak kira-kira 60 kilometer di barat daya ibu negara Syria, Damsyik.

Israel menawan sebahagian besar daripada Bukit Golan daripada Syria dalam Perang Timur Tengah pada 1967, dan menggagalkan tindakan Syria untuk mengambilnya semula pada 1973.

Kedua-dua negara itu secara teknikalnya masih berperang, dan pemantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dihantar ke wilayah itu untuk mengawasi 70 kilometer zon bebas tentera.

Pada 1981, Parlimen Israel meluluskan undang-undang yang meletakkan undang-undang, penguasaan dan pentadbiran ke atas Bukit Golan, tetapi negara lain, termasuk AS tidak mengiktirafnya.

Secara geografinya, Bukit Golan disempadani dengan Sungai Jordan dan Laut Galilee di barat; Jabal Al-Shaykh di utara; Wadi Al-Ruqqad (timur); dan Sungai Yarmuk (selatan).

Tahun lalu, Russia menolak tuntutan rejim Israel ke atas Bukit Golan, yang dianggapnya masih menjadi milik Syria.

Status Bikut Golan itu ditetapkan menerusi resolusi Majlis Keselamatan PBB, dan sebarang perubahan akan melanggar rseolusi berkenaan.

Kenyataan Trump itu adalah campur tangan terbaharunya berhubung dasar luar AS dalam krisis di rantau Teluk. Sebelum ini, dia mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, dan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv.

Baitulmaqdis Timur yang menempatkan tanah suci ketiga umat Islam dituntut oleh Palestin untuk dijadikan ibu negaranya. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close