Berita UtamaIstimewaUtama

Walau dapat bantahan, kajian pengiktirafan UEC diteruskan

Kementerian Pendidikan tetap lantik wakil kumpulan pendesak dan pengelola UEC - Dong Zong - menganggotai pasukan petugas dasar Sijil Bersepadu Sekolah persendirian Cina

KUALA LUMPUR, 14 Rejab 1440H, Khamis – Laporan penuh kajian dasar berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina akan dikeluarkan Julai ini, sebelum diserahkan kepada Kabinet.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kajian dijalankan bermula sekitar Oktober tahun lalu itu merangkumi hasil perbincangan dari pelbagai sudut termasuk ekonomi, sosial dan pendidikan.

“Sebarang syor kepada kerajaan harus dikaji secara komprehensif dengan mengambil pandangan semua pihak daripada pelbagai lapangan, dan tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya pada sidang media memperkenalkan barisan Pasukan Petugas Dasar UEC (PPDUEC) di sini, hari ini.

Maszlee berkata, setakat ini pasukan petugas itu telah menjalankan 14 sesi temubual membabitkan 34 slot bersama tokoh individu dan pelbagai pertubuhan serta dalam proses pengumpulan maklumat yang masih berjalan.

Katanya, beliau yakin hasil kajian itu akan memberi gambaran lebih komprehensif serta jelas tanpa berat sebelah dalam menjaga kesejahteraan rakyat dan negara.

Pengiktirafan UEC adalah antara janji Manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Pasukan petugas dasar UEC yang diumumkan Maszlee hari ini, dipengerusikan Pengasas Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional Melayu (Pusaka), Eddin Khoo Bu Eng; dan dianggotai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Mohamad Raimi Ab Rahim; serta Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China, Datuk Tan Yew Sing. – Bernama

Untuk pengetahuan, Tan Yew Sing adalah Timbalan Presiden Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong). Pertubuhan ini adalah pengelola UEC, dan sejak sekian lama kuat mendesak kerajaan mengiktiraf UEC.

Sebelum ini, beberapa pihak, termasuk Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, menggesa Kementerian Pendidikan membubarkan pasukan petugas itu, kerana wujud konflik kepentingan di dalam keanggotaannya.

Presiden Isma, Haji Aminuddin Yahaya sendiri pernah dijemput berdialog dengan pasukan petugas ini, dan mendapati keanggotaannya tidak inklusif, malah wujud konflik kepentingan apabila kumpulan pendesak supaya UEC diiktiraf berada di dalam pasukan petugas itu.

UEC atau Unified Examination Certificate, diwujudkan oleh Persatuan Guru dan Pengarah Sekolah Cina (Dong Jiao Zong) sejak 1975, dan digunakan di sekolah persendirian Cina di Malaysia, di mana silibusnya berasal dari Taiwan.

Sijil peperiksaan ini diwujudkan selepas kerajaan memberhentikan bantuan selepas lembaga pengelola sekolah-sekolah persendirian Cina enggan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar seperti sekolah awam biasa.

Terdapat tiga tahap dalam UEC iaitu vokasional (UEC-V); Junior (UEC-JML/JUEC); dan Senior (UEC-SML/SUEC).

Bahasa Cina adalah bahasa pengantar bagi kurikulum dan peperiksaan untuk UEC-V serta UEC-JML, sementara bahasa pengantar bagi subjek Matematik, Sains (Biologi, Kimia dan Fizik), Simpanan Kira-Kira, dan Perdagangan, pula menggunakan Bahasa Cina dan Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Peperiksaan itu tidak pernah diiktiraf untuk memasuki mana-mana institusi pengajian tinggi awam, kerana bercanggah dengan Dasar Pendidikan Negara dan Akta Pendidikan 1996. Namun, sejak Pakatan Harapan memerintah, usaha untuk mengiktiraf UEC semakin giat dilaksanakan.

Beberapa pihak juga sebelum ini menyatakan kebimbangan jika UEC diiktiraf akan mewujudkan dua aliran pendidikan yang berbeza dan menyumbang kepada pemisahan ideologi, cara hidup serta pergaulan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Pada masa sama ia akan membuka ruang kepada pihak lain menuntut supaya sijil tertentu dari luar negara juga diiktiraf.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close