Berita UtamaIstimewaUtama

‘Wajah Haziq berseri-seri’

Mariani beritahu mereka dapat kucup Haziq, kata ibu saudara

ALOR SETAR, 14 Rejab 1440H, Khamis – “Adik Mariani beritahu mereka semua dapat kucup Haziq sebelum dibawa ke kubur, wajah Haziq berseri-seri, tersenyum, seperti sedang tidur dan keadaan jenazah tidak sedikit pun terjejas walaupun sudah meninggal dunia hampir seminggu.

Demikian kata ibu saudara Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang meninggal dunia dalam insiden tembakan rambang di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand Jumaat lalu.

Zarina Shuib, 53, berkata mereka sekeluarga berasa lega selepas segala urusan pengebumian anak saudaranya itu selesai.

“Memang la kami sangat sedih dengan ketiadaan Haziq, tambahan pula dah lama tak jumpa Haziq, tapi kami syukur akhirnya dia ditemui,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan jenazah Muhammad Haziq, beliau bekrata, anak saudaranya terkena dua tembakan di badan, namun wajahnya tidak cedera dan kelihatan bersih.

Katanya, ketika membuat panggilan video dengan keluarganya yang berada di Christchurch, beliau dapat melihat dengan jelas keadaan mereka di sana yang dapat berbual dengan tenang walaupun baru kehilangan orang tersayang.

“Cuma tidak tahulah nanti macam mana reaksi adiknya, Haris (Mohd Haris, 12,) sebab sampai sekarang mereka (ibu bapa Haziq) tidak mahu beritahu lagi bahawa abangnya sudah meninggal.

“Masa buat panggilan video tadi pun saya tak nampak Hariz dengan jelas sebab dia macam mengelak untuk berbual, dia pergi ke lain (bila telefon bimbit diberikan kepadanya), dia trauma lagi tu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Hutan Kampung dekat sini, hari ini.

Anggota polis wanita New Zealand memakai tudung ketika memasuki tanah perkuburan Islam di Christchurch hari ini sambil menolak kerusi roda seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian Jumaat lalu.

Beliau berkata, berita mengenai kematian Muhammad Haziq, 17, hanya diketahuinya awal pagi tadi ketika sedang bersiap untuk ke tempat kerja.

“Dalam 8 pagi tadi, adik saya (Mariani Shuib) beritahu Haziq dah tiada, tapi belum disahkan lagi. Sejam kemudian dia hubungi semula dan beritahu sudah sah Haziq meninggal dunia.

“Selepas itu mereka terus uruskan pengebumian Haziq dan saya dimaklumkan hanya adik saya (Mohd Tarmizi Shuib) dan abang (Zakaria Shuib) dibenarkan ke tanah perkuburan dan semuanya selesai kira-kira 2.30 petang waktu New Zealand,” katanya.

Antara mangsa yang cedera dalam serangan masjid di Christchurch Jumaat lalu, hadir pada pengebumian hari ini.

Sementara itu, Zarina berkata, kesihatan Mohd Tarmizi juga sudah semakin pulih dan adiknya bongsunya itu sudah dibenarkan keluar daripada hospital.

Dalam pada itu Zarina berkata, keluarganya sedang berbincang untuk mengadakan majlis tahlil untuk anak saudaranya itu.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan yang banyak membantu urusan keluarganya di New Zealand.

Muhammad Haziq sebelum ini dilaporkan hilang selepas tragedi yang mengorbankan 50 nyawa itu, manakala bapanya Mohd Tarmizi cedera terkena tembakan. – Bernama

Polis New Zealand melakukan kawalan ketat ketika upacara pengebumian mangsa tragedi masjid di Christchurch, hari ini.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close