Berita UtamaDuniaEropahUtama

VIDEO | 5 masjid di Birmingham England pula kena serang

Polis UK gerakkan Unit Anti Pengganas jalankan siasatan

BIRMINGHAM, 14 Rejab 1440H, Khamis – Lima buah masjid di beberapa kawasan sekitar bandar ini yang terletak di West Midland, rosak selepas menjadi sasaran keganasan dan kebencian terhadap Islam, sejak malam tadi dan pagi ini waktu tempatan.

Laporan mengatakan seorang lelaki menggunakan tukul besar memecahkan tingkap masjid di Birchfield Road, diterima polis pada jam 2.30 GMT.

Polis kemudian dimaklumkan mengenai serangan sama ke atas sebuah masjid di Erdington kira-kira 45 minit kemudian, dan seterusnya di Aston serta Perry Barr.

Kira-kira jam 10:00 GMT, polis turut menerima laporan serangan terhadap sebuah lagi masjid di Albert Road.

Serentak itu, polis United Kingdom menggerakkan unit antikeganasan menjalankan siasatan terhadap serangan itu, tetapi Kementerian Dalam Negeri Britain menyifatkan kejadian itu sebagai perbuatan khianat yang menyedihkan.

Jurucakap Polis West Midland berkata, mereka belum mengenal pasti motif kejadian dan pegawai Unit Anti Pengganas masih menjalankan siasatan.

Jurucakap Pusat Islam Witton di Witton Road, Aston pula berkata, perbuatan lelaki terbabit dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) kira-kira jam 1:30 GMT.

“Semua enam tingkap bahagian depan masjid dipecahkan,” katanya.

Majlis Masjid Birmingham dalam kenyataan pula berkata, mereka terkejut mendengar berita beberapa masjid dirosakkan.

“Masjid di Birmingham adalah tempat ibadat, ketenangan dan sumber keamanan dan kedamaian. Kami terkejut dengan tindakan kebencian ini,” kata majlis itu.

Ketua Polis West Midland, Dave Thompson berkata, pegawai kejiranan polis bekerjasama rapat dengan pihak masjid di sekitar wilayah itu.

“Sejak tragedi di Christchurch, New Zealand, pegawai dan anggota polis West Midland bekerjasama rapat dengan pihak masjid di seluruh wilayah, bagi memberi jamninan keselamatan dan sokongan.

“Setakat ini, kami belum mengenal pasti motif serangan malam tadi dan awal pagi tadi.

“Dalam tempoh kritikal seperti ini, adalah amat penting semua pihak berganding bahu menentang sesiapa sahaja yang cuba mencetuskan perselisihan, dan ketakutan dalam masyarakat kita,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close