MAINS sasar kutipan zakat RM200 juta tahun ini
Turut tingkatkan penyampaian maklumat bayar zakat
SEREMBAN, 1 Ramadan 1442H, Selasa – Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yakin sasaran RM200 kutipan zakat harta dan fitrah tahun ini boleh dicapai berdasarkan kutipan memberangsangkan yang diperoleh tahun lepas yang menjangkau RM143.56 juta, melebihi sasaran asal RM140 juta.
Pengerusinya Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir berkata, pelbagai pendekatan dilaksanakan dalam usaha mencapai sasaran tahun ini antaranya dengan meningkatkan penyampaian maklumat dan hebahan kepada orang ramai mengenai kepentingan membayar zakat, termasuk menerusi papan-papan iklan.
“Walaupun negara dilanda penularan pandemik COVID-19 tahun lepas, namun kita masih lagi mampu capai lebih RM140 juta,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bulan Wakaf Negeri Sembilan di sini hari ini.
Sementara itu Abdul Aziz menyeru sektor korporat dan swasta untuk terus menyumbang ke dalam tabung zakat sekali gus membantu MAINS memberikan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan di negeri ini. -Bernama