Berita UtamaUtama

Ringgit naik sedikit berbanding dolar AS 4 hari berturut-turut

Ringgit kekal didagangkan rendah berbanding mata wang utama lain

KUALA LUMPUR, 14 Rejab 1440H, Khamis – Ringgit meneruskan peningkatan ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi hari keempat berturut-turut hari ini, disokong penyusutan mata wang negara maju itu selepas Rizab Persekutuan AS (Fed) menunjukkan kemungkinan tiada kenaikan kadar faedah tahun ini.

Sekitar jam 6 petang tadi, ringgit berada pada 4.0600/0650 berbanding dolar AS daripada 4.0650/0690 ketika ditutup semalam.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, berdasarkan carta perangkaan dan semak turun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS, mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed yang berakhir malam semalam, mencadangkan agar tiada kenaikan kadar faedah pada tahun ini.

“Semakan turun pertumbuhan KDNK AS juga menunjukkan risiko rendah semakin meningkat dan data masa akan datang seperti Indeks Pengurus Pembelian akan menjadi faktor penting untuk dipantau dalam menilai sentimen perniagaan,” katanya.

Sementara itu, krisis perdagangan antara AS dan China yang timbul semula selepas Presiden Donald Trump berkata mengenai tarif AS ke atas barangan China, mungkin dikekalkan bagi tempoh yang panjang, serta tarikh lanjutan Brexit United Kingdom turut menjadi tumpuan dalam tempoh terdekat.

“Kesimpulannya, situasi luaran amat tidak menentu buat masa ini, malahan sentimen pasaran mudah berubah disebabkan perkembangan yang dilihat tidak memberangsangkan,” katanya.

Pihaknya menjangkakan ringgit diniagakan pada jajaran kecil dan diharapkan berlaku pembetulan teknikal dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, ringgit didagangkan rendah berbanding mata wang utama lain kecuali pound Britain.

Unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.6745/6801 daripada 3.6441/6487, dan lemah berbanding euro kepada 4.6304/6374 daripada 4.6130/6187 pada semalam.

Ringgit juga rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0125/0167 daripada 3.0080/0121 tetapi, naik berbanding pound Britain kepada 5.3470/3552 daripada 5.3756/3829 semalam. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close