Berita UtamaIstimewaUtama

Remaja Malaysia hilang ketika masjid diserang disahkan maut

Mohd Haziq, hendak solat Jumaat bersama bapa dan adiknya apabila seorang pengganas melepaskan tembakan rambang di Masjid Al Noor

GEORGETOWN, 14 Rejab 1440H, Khamis – Remaja Malaysia, Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17 tahun, yang dilaporkan hilang dalam serangan terhadap dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu, disahkan terbunuh.

Ahli Exco Pulau Pinang, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh berkata, maklumat itu diberitahu pegawai kedutaan.

“Haziq disahkan terbunuh. Kedutaan telah menerima maklumat itu,” katanya kepada pemberita menerusi laman sembang kumpulan, seperti dilaporkan NST.

Mohd Haziq ialah anak kepada Mohd Tarmizi Shuib, 42, yang sekarang ini sedang dirawat akibat terkena tembakan dalam serangan seorang pengganas kelahiran Australia di Masjid Al Noor, Christchurch, yang mengorbankan 50 umat Islam yang hendak mengerjakan solat Jumaat.

Seorang lagi anak Mohd Tarmizi, Mohd Haris, 12 tahun, kini menjalani rawatan akibat trauma di sebuah hospital kanan-kanak di Christchurch.

Sebelum ini, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington berusaha keras mencari Mohd Haziq, selepas tragedi itu, tetapi gagal.

Selasa, lalu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas, Azrul Mahathir berkata, ibu Mohd Haziq telah diminta oleh polis New Zealand untuk memberi maklumat lengkap mengenai remaja itu.

Dalam serangan itu, dua lagi rakyat Malaysia – Mohd Nazril Hisham Omar, 46, dan Rahimi Ahmad, 39, – turut cedera dan dirawat di Hospital Christchurch. Keadaan mereka dilaporkan stabil.

Rahimi, 39, pekerja kilang susu di New Zealand, yang terkena dua das tembakan ketika serangan di Masjid Al-Noor Jumaat lepas, masih bergantung kepada mesin pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan telah menjalani pembedahan bagi mengeluarkan sisa peluru.

Sementara itu, Bernama melaporkan Kementerian Luar Malaysia masih menunggu maklumat berhubung nasib yang menimpa Mohd Haziq.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Wisma Putra akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu selepas mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa New Zealand.

“Saya tidak mahu membuat apa-apa kenyataan sekarang,” katanya malam tadi.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close