Berita UtamaUtama

Najib nafi ada sembang santai bersama pelajar UM di masjid

Ramai pencarum bimbang jika PNB teruskan hasrat pajak aset

BANGI, 14 Rejab 1440H, Khamis – Datuk Seri Najib Razak menafikan beliau akan mengadakan program sembang santai bersama pelajar Universiti Malaya (UM) di Masjid Ar-Rahman berdekatan universiti itu esok, seperti yang ditularkan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau juga tidak pasti pihak mana yang mengeluarkan poster mengenai program itu, tetapi tidak menafikan beliau akan bersolat Jumaat di masjid berkenaan esok.

“Saya memang ada rancangan untuk solat Jumaat di Masjid berkenaan esok. Tetapi memang tidak ada dalam perancangan kita untuk mengadakan sesi sembang santai di dalam masjid.

“Sebab itu, ‘event’ tersebut tidak pernah diumumkan dalam Facebook saya seperti lawatan-lawatan lain saya sebelum ini. Selama ini, saya tidak pernah berceramah atau bersembang santai di dalam masjid kerana kita semua menghormati rumah Allah dan tidak disalahgunakan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau bagaimanapun berkata, oleh kerana acara ini sudah mendapat perhatian orang ramai setelah dilaporkan di dalam media, beliau difahamkan bahawa rakan-rakannya di UM mempunyai rancangan untuk mencari sebuah kafe berhampiran untuk pertemuan mereka selepas solat Jumaat.

“Mungkin ada hikmah selepas ada yang cuba beri gambaran buruk kononnya saya akan gunakan masjid bagi program sembang santai,” katanya.

Terdahulu tular poster ‘Sembang Santai Mahasiswa Universiti Malaya (UM) Bersama #Bossku’ di media sosial, menyebabkan pihak pengurusan masjid berkenaan membuat laporan polis.

Laporan itu menyebut pihak pengurusan masjid tidak dimaklumkan lebih awal berhubung program berkenaan.

Sementara itu, Najib dalam kiriman Facebook beliau hari ini mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen DAP Rasah, Cha Kee Chin di Dewan Rakyat, yang katanya mengaku bahawa hutang negara memang telah naik selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.

Kenyataan itu, katanya, bercanggah dengan kenyataan ‘Menteri Kewayangan’ bulan lalu bahawa “hutang negara turun sedikit tapi saya tak pasti turun berapa.”

Tetapi ahli parlimen PH ini memberi alasan bahawa kenaikkan hutang negara di bawah PH adalah kerana PH perlu membayar balik RM37 bilion untuk tuntutan GST dan LHDN tertangguh, kata Najib.

Menjelaskan perkara itu, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau sudah beberapa kali membuktikan dengan data rasmi kerajaan PH bahawa kebanyakkan daripada tuntutan itu adalah disebabkan oleh langkah kerajaan untuk memansuhkan GST dan tidak membayar balik tuntutan untuk bulan April dan Mei 2018.

“Sumber untuk bayaran balik tuntutan RM37 bilion ini bukan dari hutang baru negara tetapi sebahagian dari RM82 bilion yang dijarah dari Petronas oleh kerajaan PH.

“Ini bermakna pembayaran balik RM37 bilion ini tidak ada kaitan dengan kenaikan hutang negara di bawah kerajaan PH sebanyak RM90 bilion setakat hari ini berbanding akhir tahun 2017 di bawah BN. Ini adalah kadar kenaikkan hutang yang jauh lebih tinggi berbanding di bawah kerajaan BN,” katanya.

Najib juga membangkitkan kebimbangan ramai pencarum Permodalan Nasional Bhd (PNB) bimbang jika perbadanan itu meneruskan langkah memajak aset mereka.

Katanya, petang tadi Bloomberg melaporkan bahawa PNB ingin mengikut jejak Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dengan mengeluarkan bon pinjaman atau sukuk buat pertama kali dalam sejarah mereka.

“PNB dilaporkan akan gunakan aset-aset dari tabung-tabung amanah ASB dan ASN mereka seperti pegangan saham mereka di dalam Maybank, Sime Darby, TNB dan lain-lain sebagai pajakan bagi meminjam bon ini.

“Pinjaman dalam mata wang asing ini pula akan digunakan untuk pelaburan baru PNB di luar negara. Langkah PNB yang luar biasa ini tentu ada risikonya – termasuk risiko meminjam dalam mata wang asing dan terdedah kepada ketidaktentuannya,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close