Berita UtamaIstimewaUtama

Haziq selamat dikebumikan

Majlis pengebumian berlangsung selepas solat Zohor

BANGI, 14 Rejab 1440H, Khamis – Jenazah Mohd Haziq Mohd Tarmizi, remaja berumur 17 tahun dari Kedah yang terbunuh dalam kejadian tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand Jumaat lalu, dikebumikan di Bromley Memorial Park Cemetery, hari ini.

Memetik Bernama, Anggota Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh yang baru kembali dari Christchurch berkata, beliau dimaklumkan oleh petugas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand bahawa majlis pengebumian selesai pada kira-kira jam 4.00 petang waktu New Zealand (11.00 pagi waktu Malaysia).

“Majlis pengebumian berlangsung selepas solat Zohor, menerusi tatacara pengurusan jenazah mengikut agama Islam,” katanya.

Sementara itu, jenazah Mohd Haziq adalah yang terakhir dikebumikan hari ini. Sebelum itu, beberapa jenazah mangsa pembunuhan kejam berkenaan turut dikebumikan di tanah perkuburan sama.

Mohd Tarmizi yang turut cedera dalam tragedi itu berkerusi roda mengiringi jenazah anaknya di tanah perkuburan berkenaan.

Ratusan warga Christchurch tanpa mengira agama, termasuk rakyat Malaysia yang tinggal di New Zealand, hadir ketika majlis pengebumian diadakan.

Terdahulu, semua jenazah ditempatkan di sebuah kehmah untuk disolatkan.

Difahamkan, ibu dan kakak kepada Mohd Haziq tidak hadir di majlis pengebumian ketika itu. Sebaliknya mereka hadir apabila masyarakat beransur-ansur pulang kerana tidak mahu diganggu.

Pihak berkuasa meningkatkan kawalan di sekitar tanah perkuburan berkenaan bagi mengelak sebarang gangguan.

Anggota polis bersenjata lengkap mengawal pintu pagar ke tanah perkuburan itu, sementara beberapa sukarelawan mengawal ratusan orang ramai yang hadir.

Mohd Tarmizi Shuib, 42, bersama dua lagi rakyat Malaysia; Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad; juga tercedera apabila penyerang melepaskan tembakan ke arah jemaah Masjid Al Noor serta Masjid Linwood, dalam kejadian Jumaat lalu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis New Zealand, Mike Bush berkata, semua 50 mangsa serangan di dua masjid berkenaan sudah dikenal pasti dan keluarga mereka telah dimaklumkan.

Bush memberitahu sidang media di Christchurch hari ini, pasukan pakar forensik, koroner dan ahli patologi bekerja keras untuk menyelesaikan proses pengenalan mangsa, bagi menghormati keluarga mangsa.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close